Saya selaku setiausaha negeri DAPSY PERAK dengan ini menggesa perletakan jawatan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana bukan sahaja beliau telah mengeluarkan kenyataan yang sejelas-jelasnya menunjukan kecenderungan rasisma beliau, tetapi juga telah mempamerkan kelakuan yang sesuai dikatakan seakan-akan seorang pembuli dan ketua samseng besar.
Semangat dan taktik taktik mengatas yang ditunjukkan oleh Menteri- Menteri Dalam Negeri dari UMNO dari satu ke satu adalah rekod panjang yang amat memalukan, dan dapat dilihat di setiap salah laku, kontroversi dan kegagalan demi kegagalan mereka, yang sepatutnya membantu menyelamatkan negara dari jenayah berleluasa. Dari penangkapan wartawan dengan alasan ‘demi keselamatan beliau’ oleh Syed Hamid Albar ke tuduhan tidak masuk akal oleh Hishamuddin Hussein yang mengatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah agen CIA. Kini, Zahid Hamidi pula memainkan peranan beliau di dalam arena yang sama dengan penuh persiapan seiring dengan pengiktirafan kepada politik perkauman bawaan UMNO.
Dari segi penggunaan bahasa, sangat jelas dan nyata bahawa Menteri Dalam Negeri, adalah individu yang amat gemar mengagungkan dan mementingkan diri sendiri, dan setiap tindak-tanduk beliau adalah untuk memenuhi agenda politik diri beliau sendiri di bawah selindung dan samaran palsu untuk kebaikan masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, beliau cuba dengan angkuh menunujuk-nunjuk kepada perwakilan UMNO bahawa beliau adalah lebih hebat dan tegas berbanding mantan Menteri Dalam Negeri yang dahulu, di samping sifat perkauman beliau yang semakin menjadi-jadi. Ini jelas apabila beliau mengatakan bahawa pindaan Akta Pencegahan Jenayah (Prevention of Crime Act 1959) adalah atas usaha beliau, atau dari petikan kata-kata beliau yang angkuh lagi sombong, ‘undang-undang saya’ untuk membantu pihak polis melindungi komuniti Melayu dari kejahatan dan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh orang bukan Melayu.
Wahai Menteri Dalam Negeri, beringatlah bahawa jenayah itu tidak pernah mengenal kaum.
Ini menunjukkan bahawa Menteri Dalam Negeri telah mengambil satu langkah yang terlalu menyimpang dari apa yang sepatutnya. Beliau sepatutnya memastikan kita, sebagai satu negara tidak menjadi bahan jenaka di mata dunia, bukannya terang-terang mengaku melindungi satu etnik kaum sahaja di Malaysia di samping melaung-laungkan semangat 1Malaysia yang palsu. Ini tidak sepatutnya diperlakukan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia, negara berbilang kaum. Menteri Dalam Negeri sepatutnya mengecam gangsterisma secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan bukannya menganggap mereka ini sebagai kawan-kawan dan adik-beradik.
Menteri Dalam Negeri ini adalah Menteri untuk rakyat Malaysia atau Menteri untuk ayahanda-ayahanda dan adik-beradik?
Sekiranya ya, mungkin Perdana Menteri perlu mewujudkan satu lagi Kementerian di kalangan kementerian-kementerian yang banyak itu khas untuk melindungi dan mentadbir golongan samseng dan gangster.
Negara-negara bertamadun dan makmur seluruh dunia sentiasa berusaha untuk merapatkan jurang di antara cita-cita idealisma rakyat mereka dan keadaan realiti negara. Tetapi di Malaysia, jurang ini semakin dijauh-jauhkan oleh pihak pemerintah, dari cita-cita rakyat Malaysia yang sepatutnya untuk keadilan, pendekatan majmuk, negara yang selamat dan penuh kebaikan dan masyarakat harmoni kita telah menyimpang kepada masyarat skizofernia paranoid yang lebih berpolarisasi, bersifat perkauman yang semakin tegang, mempunyai pendekatan bunuh atau dibunuh, (‘kill or be killed’).
Adakah ini semangat kenegeraan yang kita mahukan? Menteri Dalam Negeri patut belajar semula bagaimana untuk menjadi seorang rakyat Malaysia, negara berbilang kaum sebelum layak dipanggil seorang Menteri di Malaysia.
Jelas dan nyata bahawa Menteri Dalam Negeri melihat sokongan perwakilan UMNO untuk pilihanraya UMNO yang akan datang adalah lebih penting berbanding dengan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia sendiri. Kemungkinan besar beliau lebih rela mengorbankan jawatan menteri beliau untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO, berdasarkan kelakuan dan kenyataan demi kenyataan yang beliau keluarkan sejak dua menjak ini.
Sekiranya ini adalah benar, kami menggesa supaya Zahid Hamidi meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri untuk mengelakkan dari negara Malaysia kesayangan kita semua, kerajaan dan juga Parlimen Malaysia terus dimalukan dengan tindakan beliau yang dari sehari ke sehari semakin tidak masuk akal.