Malaysia seperti terperangkap di dalam mimpi buruk yang tiada henti dengan peningkatan pandemik Covid-19 kepada rekod tertinggi 1,706,089 kes jangkitan dan 16,087 kematian serta krisis ekonomi yang telah mengancam kelangsungan hidup keluarga kita dan memusnahkan mata pencarian. Bagi menghidupkan kembali Impian Merdeka sebuah negara yang dengan bangganya mengambil tempat di kalangan negara maju, perlu ada usaha keseluruhan masyarakat dan kesatuan untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19 dan mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan sekarang.
DAP bersedia melihat ke hadapan dan mengambil langkah sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Perdana Menteri Ismail Sabri dengan mengambil guna Pelan Reset Covid-19 Negara dan Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion untuk mengembalikan negara dan ekonomi kita kepada situasi nomal. Rancangan normalisasi ini akan membolehkan kita meneruskan kehidupan kita, bekerja untuk mencari rezeki, meneruskan perniagaan kita, kembali ke sekolah dan memberi inspirasi kepada para golongan muda agar mereka boleh menanam cita-cita untuk merealisasikan potensi penuh mereka berbanding masa depan yang gelap akibat “total lockdown” dan bergantung pada bakul makanan.
Kesediaan untuk bekerjasama bagi memerangi Covid-19 dan mengatasi krisis ekonomi ini tidak boleh disalah anggap sebagai PH atau DAP membentuk kerajaan perpaduan dengan Ismail Sabri. Ini tidak benar dan jauh daripada kebenaran. DAP akan tetap berada dalam pembangkang untuk memainkan peranan perlembagaan kami sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan, membawa suara rakyat, membela cita-cita dan prinsip serta melawan ketidakadilan. Kami bersedia bekerjasama demi untuk melaksanakan reformasi institusi, terutama pindaan perlembagaan yang memerlukan 2/3 majoriti untuk menggubal Undang-undang Anti Lompat Parti.
Dengan 1 daripada 18 rakyat Malaysia telah dijangkiti COVID-19, kita tidak boleh menunggu lagi. Pelan Reset Covid-19 Negara perlu mempercepatkan vaksinasi, menyediakan pemeriksaan ujian massa menggunakan strategi Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokongan berserta Vaksinasi (FTTIS + V) seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan kita dikendalikan dengan baik dan diberikan peruntukan sepenuhnya dengan katil, ubat-ubatan, dan kemudahan ICU yang mencukupi untuk merawat pesakit. Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM 45 bilion perlu memberi penumpuan kepada bantuan kewangan dan suntikan dana secara terus serta berkala dan bukannya pendekatan lapuk “one-off” dan bantuan tidak langsung seperti pinjaman dan jaminan.
Marilah kita menghidupkan kembali Impian Malaysia yang penuh dengan harapan dan potensi masa depan yang lebih cerah untuk semua. Marilah kita memperbaiki kedudukan terakhir dalam Indeks Kenormalan Bloomberg daripada 53 negara dengan bangkit untuk menjadi sebuah negara yang bangga, yang memberikan peluang yang sama kepada semua, menyerahkan kepada golongan pakar profesional dan bukan ahli politik yang tidak kompeten untuk membuat keputusan, dan mengembalikan semangat perpaduan seluruh negara supaya kita dapat mengatasi Covid-19 dan krisis ekonomi ini.