Saya merasa sangat bertuah sebagai salah seorang ahli DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama-sama dengan PKR dan PAS kerana ungkapan Saudara Anwar Ibrahim berkaitan satu usul yang meminta kuota parti dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengabsahkan lagi bahawa Pakatan Rakyat merupakan satu gerakan politik yang benar-benar tulen dan jujur dalam membanteras rasuah dan salahguna kuasa yang menjadi amalan budaya politik sejak sekian lama.
Menurut beliau “Kita jangan kompromi dengan prinsip integiriti pentadbiran yang baik yang kita bicarakan. Kedudukan GLC itu bukan rizab parti ”. kenyataan ini wajar diangkat sebagai satu mesej penting bagi semua parti dan ahli politik dalam Pakatan Rakyat.
Prinsip asas seperti integriti dan profesionalisme wajar diberi penekanan dalam semua aspek urus tadbir kerajaan agar perjuangan parti tidak menyimpang dari matlamatnya. Terlalu banyak bukti kesilapan yang akhirnya membawa kepada skandal salahguna kuasa dan rasuah yang telah berlaku dalam amalan politik UMNO Barisan Nasional.
Jika kita merujuk kepada amalan atau budaya yang dilakukan oleh UMNO dan BN selama ini, kita dapat lihat bagaimana kroni-kroni mereka memanipulasi syarikat berkaitan kerajaan hingga menyebabkan syarikat menanggung kerugian besar dan akhirnya semua masalah ini ditanggung oleh rakyat bawahan.
Contoh nyata seperti syarikat Khazanah Naisonal Berhad (KHAZANAH) dan POS Malaysia, ia mencatat kerugian sekitar RM 50 juta pada tahun 2009. MAS pula selepas diswastakan telah mencatat kerugian sekitar RM 2.5 billion sehingga tahun 2011. Dan PKFZ yang mana dianggarkan mengalami kerugian RM 12 billion. Itu belum dicampur dengan kerugian PROTON dan lain-lain GLC lagi.
Semua kerugian ini adalah berpunca dari kecuaian pihak pengurusan yang mana ketua-ketua GLC ini adalah lantikan politik atau yang mempunyai kaitan langsung dengan pemimpin elit UMNO BN.
Contoh lain yang kita dapat lihat bagaimana UMNO BN menjalankan kerja-kerja korupnya apabila melantik Ketua-ketua kampung dari kalangan ketua-ketua UMNO baik diperingkat cawangan mahupun bahagian. Pada asalnya, niat ini adalah baik. Tetapi disinilah puncanya berlaku salahguna kuasa dan korupsi.
Mereka-mereka ini diberikan tender dan kontrak secara rundingan terus termasuk dana atau peruntukan untuk membantu orang kampong dalam membangun atau menyelesaikan masalah dikampung. Namun wang ini telah digunakan untuk tujuan lain termasuk menggunakannya untuk mengugut rakyat yang tidak menyokong mereka. Akhirnya, niat yang suci telah bertukar menjadi sebaliknya hingga menyebabkan rakyat biasa gagal dibantu.
Justeru, pernyataan Saudara Anwar Ibrahim agar ahli politik tidak melibatkan diri secara langsung dalam GLC merupakan satu langkah tepat dan wajar diiktiraf oleh kita semua. Ia juga selaras dengan dasar kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang selama ini mengamalkan dasar Cekap ,Akauntabel dan Telus (CAT) hingga berjaya membawa kemakmuran ekonomi dan sosial buat rakyatnya.
Inilah intipati yang dimaksudkan dalam slogan UBAH. Perubahan dari satu amalan atau sistem lama yang korup kepada satu sistem baru yang lebih cekap, telus dan adil. Ia bukan slogan kosong sepertimana slogan 1Malaysia Najib yang menyalahkan sesuatu kaum apabila tidak mendapat sokongan majoriti dalam PRU 13 yang lalu.
Pengasingan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman merupakan induk perubahan yang ingin dizahirkan oleh Pakatan Rakyat. Inilah pendekatan paling berkesan dalam membendung amalan rasuah dan salahguna kuasa.