Skip to content

Mengingatkan kerajaan Barisan Nasional supaya memartabatkan jaminan kebebasan beragama di Sabah yang termetrai di Batu Sumpah Keningau

Saya ingin mengingatkan kerajaan Barisan Nasional supaya memartabatkan jaminan kebebasan beragama di Sabah yang termetrai di Batu Sumpah Keningau.

Jaminan tersebut merupakan prinsip terpenting bagi Sabah semasa bersetuju bergabung dengan tiga negara lain membentuk Malaysia.

Banyak kali saya beri tekanan mengenai perkara ini di Parlimen dan mendesak supaya kerajaan iktiraf kedudukan Batu Sumpah.

Ini yang kita buat, kita jalankan kempen Gerakan Batu Sumpah di beberapa kawasan di Sabah untuk tingkatkan kesedaran di kalangan rakyat.

Dan akhirnya, kerajaan terpaksa akur, kita telah mencapai kemenangan yang tak pernah dicapai sesiapa pun sebelum ini,

Kerajaan Persekutuan akhirnya telah setuju untuk mewartakan Batu Sumpah Keningau sebagai warisan negara dan akan kembalikan ia ke tempat asal.

Tiga jaminan yang terpahat di batu sumpah melibatkan kebebasan beragama, hak tanah dan hak adat ostiadat Anak Megero Orang Asal Sabah.

Kerajaan perlu tunaikan dan martabatkan jaminan tersebut.

Kita tidak mahu suatu masa, polisi larangan sambutan Hari Krismas secara terbuka dan terhad kepada kelompok penganut tertentu sahaja di Brunei misalnya menjadi ikutan Malaysia.

Ia merupakan satu tamparan hebat kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, lebih-lebih pula di Sabah, masyarakatnya amat unik.

Baru-baru ini kerajaan Brunei mengeluarkan larangan sambutan Krismas di tempat awam dan juga secara terbuka. Kesalahan ini boleh didenda sebanyak $20,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun. Antara budaya Krismas yang menjadi larangan di Brunei termasuk hiasan pokok Krismas di tempat awam, pakaian Santa Claus secara terbuka termasuklah menghantar mesej ucapan Krismas.

Larangan begitu amat sukar diterima, ini disebabkan kepercayaan dalam agama adalah perkara yang sangat peribadi dan hak ini sepatutnya dihormati, bukan disekat sebegitu.

Saya bukan mahu mencampuri urusan Brunei, ia sebagai contoh supaya tidak berlaku di sini, pada masa yang sama, kita lihat wilayah Islam seperti Dubai dan Palestin menunjukkan sikap yang terbuka, berbeza dari Brunei.

Saya berharap agar larangan seperti di Brunei tidak akan muncul di Malaysia kerana negara ini adalah negara sekular yang melindungi hak kebebasan beragama kepada rakyatnya seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Semasa ketiga-tiga negara iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia, rakyat Sabah dan Sarawak telah diberi jaminan kebebasan beragama seperti tertakluk dalam perjanjian. Kedudukan Malaysia sebagai negara sekular perlu dipertahan dan dimartabatkan.