Skip to content

Mengkaji kebolehlaksanaan memanjangkan tempoh sah pasport orang dewasa dari 5 tahun kepada 10 tahun

Saya merujuk kepada pengumuman Kedutaan Malaysia di Singapura pada 8 Jun 2021 untuk membenarkan rakyat Malaysia di Singapura yang memiliki passport
yang akan tamat tempoh pada tahun 2021, untuk memanjangkan tempoh sah passport mereka untuk 2 tahun lagi tanpa sebarang kos atau caj.

Saya menghargai inisiatif oleh Jabatan Imigresen memandangkan proses memanjangkan tempoh sah pasport adalah suatu proses yang amat ringkas sekiranya dibandingkan dengan proses permohonan pasport baru, dan dapat membantu kerisauan rakyat Malaysia yang berada di Singapura, memandangkan ramai antara mereka tidak dapat melengkapkan permohonan pasport baru secepat yang dijangkakan.

Namun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan kepada Menteri Dalam Negeri agar mengkaji kebolehlaksanaan memanjangkan tempoh sah pasport orang dewasa dari 5 tahun yang merupakan standard kini, kepada 10 tahun.

Antara faedah pertukaran ini adalah seperti berikut;

  1. Mengurangkan permohonan pembaharuan pasport memandangkan banyak pasport tidak digunapakai penuh sebelum tamat tempoh;
  2. Mengurangkan tenaga kerja dan sumber yang diperlukan bagi tujuan pembaharuan pasport, baik di pejabat imigresen tempatan, mahupun di Kedutaan Malaysia dan Pejabat Pesurahjaya Tinggi Malaysia di luar negara;
  3. Memberi kelegaan dan menyelesaikan kerisauan rakyat Malaysia di seluruh dunia bahawa setelah membuat permohonan pasport baru, pasport mereka
    tidak akan tamat tempoh sebelum pandemik ini berakhir.

Berdasarkan kajian, banyak negara telah mengeluarkan pasport dengan tempoh sah dari 5 tahun hingga 10 tahun.

Saya berharap cadangan yang ringkas dan bermakna ini dapat dikaji secara mendalam oleh Kementerian Dalam Negeri.