Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, YB Lim Guan Eng pada 30.8.2022 (“Kenyataan Media”) adalah dirujuk.
Kenyataan Media tersebut telah mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengadakan sidang khas pada penghujung bulan September 2022 untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkaitan Undang-undang Anti-Lompat Parti (“Cadangan”), iaitu Perkara 14A (“Perkara 14A”), berdasarkan, antara lain, seperti berikut –
- pindaan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan pada 28.7.2022 baru-baru ini yang mana akan menghalang Ahli Parlimen daripada melompat parti (“Perlembagaan Persekutuan Terpinda”); dan
- pengumuman oleh Ketua Menteri Sabah bahawa Perlembagaan Negeri Sabah akan dipinda supaya selari dengan Perlembagaan Persekutuan Terpinda.
Dengan segala hormat, Cadangan tersebut tidak boleh dipertahankan dan jika diteruskan, ianya pasti akan merugikan para pengundi Pulau Pinang.
Ia adalah fakta bahawa –
- Perkara 14A memperuntukkan, antara lain, pemecatan daripada parti politik sebagai alasan untuk mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang berkenaan. Walaupun pemecatan tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Terpinda, perlu diingatkan bahawa Perkara 14A telah digubal dan diluluskan (termasuk pemecatan) dengan lebih daripada 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2012. Ini telah dilakukan pada masa semua orang termasuk saya dan YB Lim menyedari sepenuhnya keputusan Mahkamah Agung 1992 mengenai hak seseorang untuk berpersatuan di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan ketika itu.
- sebelum Perlembagaan Persekutuan telah dipinda, empat (4) individu telah mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar kesahihan Perkara 14A. Dalam hal berkaitan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memohon untuk merujuk persoalan undang-undang ini untuk penentuan Mahkamah Persekutuan Malaysia, yakni sama ada Perkara 14A adalah berperlembagaan atau sebaliknya (“Rujukan”) .
- Saya telah mengeluarkan kenyataan pada 29.7.2022 bahawa Pulau Pinang bercadang untuk meminda peruntukan yang berkaitan agar konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan Terpinda. Walau bagaimanapun, kenyataan yang sama juga merujuk kepada Rujukan tersebut yang telah ditetapkan untuk keputusan pada 3.8.2022.
- Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 3.8.2022 telah membuat keputusan sebulat suara oleh panel tujuh (7) hakim, dengan memutuskan bahawa “Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak terbatal kerana ia tidak bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan” [penekanan diberikan] (“Keputusan Sebulat Suara Mahkamah Persekutuan”).
Keputusan Sebulat Suara Mahkamah Persekutuan tersebut juga telah membawakan pencerahan mengenai kedudukan penting ini –
“Dalam pertimbangan kami, keupayaan wakil rakyat untuk berniat untuk menukar atau menukar keahliannya dalam parti politik, atas apa jua sebab, tidak menyamai pencirian hak peribadi seseorang warganegara untuk menubuhkan persatuan seperti yang dibayangkan dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada fungsi demokrasi berparlimen yang sepatutnya dan oleh itu, boleh dihadkan dan dikawal secara sah oleh undang-undang yang diluluskan, dalam kes ini oleh Dewan Undangan Negeri dengan tujuan untuk mengawal selia syarat kelayakan keahlian…” [penekanan diberikan].
Untuk peringatan, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2012 membuat keputusan untuk meneruskan dengan Perkara 14A berpandukan kepercayaan bahawa pengundi Pulau Pinang berhak mendapat Kerajaan Negeri yang stabil dan berwibawa yang menghormati mandat yang telah diberikan. Untuk kini berpegang dengan posisi berlainan yang menjejaskan Perkara 14A, lebih-lebih lagi apabila keperlembagaan Perkara 14A telah disahkan oleh Keputusan Sebulat Suara Mahkamah Persekutuan, adalah satu pemerdayaan terhadap kepercayaan semua.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan dan mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 5.8.2022 bahawa –
- Perkara 14A akan kekal seperti sedia ada; dan
- tidak akan ada sebarang sidang khas untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang berkenaan dengan Perkara 14A.