Skip to content

Mengutuk ucapan provokatif ahli DAP

Sehari lagi sebelum Hari Mengundi untuk Pilihan Raya Negeri bagi 6 buah negeri, sebuah klip video lama tentang ucapan provokatif seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam telah pun ditularkan, dengan niat untuk mematahkan momentum PH/BN dalam berkempen.

Biarpun kesan klip video ini telah berjaya ditangani dengan pantas oleh Setiausaha Agung DAP, YB Loke Siew Fook, perlu saya beri penekanan dan pengulangan bahawa individu tersebut sedikit pun tidak mewakili akhlak dan pendirian DAP, malah tidak mencerminkan sama sekali mana-mana ketelusan dan keikhlasan kerjasama murni di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani.

Biarpun Setiausaha Agung DAP telah mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta merta, sikap yang provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat seperti itu adalah suatu budaya yang perlu kita jauhkan. Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani sebenar-benarnya meraikan nilai-nilai yang baik dalam tadbir urusnya, apatah lagi bertekad untuk menyisihkan sikap-sikap politik kotor seperti ini.

Bak kata peribahasa Melayu, di dalam setandan pisang, pasti ada sebiji dua yang tidak boleh dimakan; begitu jugalah perjuangan dalam menyatukan bangsa manusia. Sikap provokatif ini pastinya tidak boleh diterima oleh mana-mana warganegara Malaysia yang percaya dengan politik baharu kita bersama. Cabaran-cabaran ini telah ditangani dengan baik untuk memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat terus berkekalan.

Momentum kempen kini berada di dalam saat kritikal di mana kecenderungan rakyat ke arah PH/BN benar-benar jelas terasa. Demi visi dan misi yang jauh lebih murni dalam mengekalkan kestabilan melalui perpaduan, seluruh jentera PH/BN perlu bersatu hati dan perkukuhkan lagi kerjasama ini.

Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani selama ini dikenali kerana berjuang menentang musuh pelampau. Adakalanya, perjuangan ini perlu ada dari dalam juga.