Sembilan tahun lalu, apabila DAP dan rakan-rakan pakatan diberi mandat, kita menjanji “Ubah” kepada rakyat Pulau Pinang.
Apabila kita kata “Ubah”, kita maksudkan perubahan dalam semua aspek kerana rakyat sudah jenuh dengan keadaan “business as usual” ataupun meneruskan amalan seperti biasa.
Tetapi ketika kita menjadi kerajaan pada tahun 2008, pihak lawan berkata bahawa kita tidak mempunyai pengalaman. Kita jawab: ya kita tidak mempunyai pengalaman untuk menjadi kerajaan tetapi tidak seperti mereka, kita juga tidak mempunyai pengalaman makan rasuah.
Hari ini, sembilan tahun kemudian, saya boleh dengan bangganya mengaku bahawa DAP Pulau Pinang masih tidak mempunyai pengalaman dalam aspek makan rasuah.
Namun bezanya, sekarang pihak lawan tidak boleh menuduh DAP sebagai kurang pengalaman dari segi tadbir urus lagi. Kita telah buktikan bahawa Pulau Pinang dalam tempoh sembilan tahun yang lalu adalah jauh lebih baik daripada ketika di bawah Barisan Nasional. Adakah anda setuju?
Kawan-kawan yang dikasihi,
Sebenarnya, “Ubah” memang satu formula mudah sahaja, tiada apa-apa rahsia ataupun keajaiban.
Kita memperkenalkan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus atau CAT. Kerana kita tahu, masalah dengan negara kita berakar umbi pada masalah dalam kerajaan kita.
Hari ini apabila menoleh ke belakang, hampir sembilan tahun kini, rakyat Pulau Pinang dapat melihat sendiri sejauh mana kita semua telah capai.
Pulau Pinang bukan lagi negeri mundur sebagaimana tahun-tahun 90-an apabila satu-satunya kisah bangga kita hanyalah memori sejarah sebagai negara perindustrian yang pertama di Malaysia. Hari ini kita sekali lagi berada dalam senarai teratas carta negara sebagai destinasi pilihan bagi pelabur dalam dan luar negara. Dari 2008 hingga 2015 Pulau Pinang menerima pelaburan berjumlah RM55 bilion, iaitu peningkatan 90% berbanding lapan tahun yang terakhir di bawah kerajaan lama.
Pulau Pinang bukan lagi negeri kotor atau sebagaimana disebut oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir ketika beliau melawat negeri ini 20 tahun yang lalu: Pulau Pinang Darul Sampah. Hari ini Pulau Pinang kembali menjadi Pulau Mutiara Timur yang bersinar cahayanya; dan saya diberitahu bahawa rakyat Malaysia dan rakyat Pulau Pinang di luar negara sering kali berasa bangga apabila negeri kita disebut dengan pujian tinggi dalam berita dan laporan di negara asing.
Pulau Pinang bukan lagi sebahagian daripada kancah rasuah dalam kleptokrasi global. Hari ini kita dipuji oleh Ketua Audit Negara dan laporan antarabangsa, sama ada rakan-rakan mahupun musuh, semuanya mengiktiraf bahawa kita bukan sahaja negeri yang bersih tetapi juga kerajaan yang bersih. Lawan kita boleh melemparkan segala macam tuduhan palsu terhadap kita, tetapi rekod hitam dan putih jelas dan nyata: DAP komited terhadap tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah.
Dan akhirnya, Pulau Pinang bukan lagi bandaraya tidak berperikemanusian di mana yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin ketinggalan. Hari ini kerajaan negeri memastikan setiap rakyat Pulau Pinang, tidak kira bangsa, jantina, umur dan kelas sosial, akan diberi peluang yang terbaik untuk mengambil bahagian dan mendapat manfaat dalam usaha membina Pulau Pinang sebagai bandaraya antarabangsa masa depan. Kita adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan jaminan pendapatan – setiap isi rumah di Pulau Pinang dijamin pendapatan isi rumah minimum di atas garis kemiskinan pada RM790. Jika pendapatan isi rumah kurang daripada RM790 sebulan, kerajaan negeri akan menambah untuk menggenapkannya.
Kita tidak boleh duduk dan berehat kerana kleptokrat tidak akan duduk dan berehat
Kawan-kawan sekalian,
Ya kita telah mencapai banyak kejayaan bersama dalam tempoh sembilan tahun yang lalu.
Tetapi ini bukan masa untuk duduk dan berehat seolah-olah kerja-kerja kita sudah selesai. Tidak.
Sebabnya adalah kerana: Sekurang-kurangnya enam buah negara di seluruh dunia sedang menyiasat kleptokrasi Malaysia. Amerika Syarikat tengah memburu MO1. Kos sara hidup melonjak tinggi, rakyat Malaysia dibebankan dengan GST, matawang Ringgit telah jatuh nilai menyebabkan kuasa beli kita lemah.
Minggu lalu, ketika kita cuba untuk melupakan kesakitan ekonomi di sekeliling kita untuk seketika bagi menyambut Tahun Baru Cina, kita berhadapan dengan satu lagi peningkatan harga petrol.
Seruan Selamatkan Malaysia kedengaran dari setiap sudut negara ini dari Perlis hingga ke Sabah. Malah ada ahli-ahli UMNO turut serta kerana mereka tidak terdaya menanggung azab dipimpin oleh kerajaan pencuri.
Dalam keadaan ini, Pulau Pinang berdiri sebagai sebuah harapan dan inspirasi bagi rakyat Malaysia di mana-mana. Rakyat Pulau Pinang berani Ubah dan lihatlah sejauh mana kita telah capai sekarang.
Sudah tentu, kleptokrat tidak akan duduk dan berehat. Mereka mahu merebut kembali Pulau Pinang. Hanya beberapa hari lalu, seorang Menteri Persekutuan berkata, beliau merancang untuk mengambil Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan. Kita semua tahu makna disebaliknya. Tidak akan ada lagi pilihan raya, kita tidak akan dapat untuk memilih kerajaan negeri kita sendiri dan kita akan ditadbir oleh birokrat yang berada 300 kilometer di Putrajaya. Mereka akan terus mengambil cukai kita, tetapi kita tidak akan mempunyai suara dalam tadbir urus.
Saudara telah berjuang bersama-sama DAP sejak 2008. Kita perlu berjuang bersama-sama pada pilihan raya akan datang bagi memastikan kita mengekalkan Pulau Pinang selamat sebagai harapan untuk Malaysia. Ini mungkin salah satu pertempuran yang paling sukar yang bakal kita hadapi dalam hidup kita.
DAP sentiasa berkhidmat dan akan terus berkhidmat
Saudara-saudari,
Dalam tempoh sembilan tahun, DAP telah membuktikan bahawa kita adalah kerajaan yang berjaya berkhidmat. Saya bangga untuk mengatakan bahawa DAP bermaksud, Delivered as Promised – Dilaksana sebagaimana dijanjikan.
Apabila DAP mengatakan bahawa kita mahu membersihkan Pulau Pinang, kita laksanakan kepada anda Pulau Pinang yang bersih, hijau sihat dan selamat.
Pergi ke Persiaran Gurney bila-bila masa, dan anda akan melihat bagaimana ia lebih bersih berbanding sebelumnya. Pergi ke bandar George Town, sepuluh tahun yang lalu, ia seakan-akan bandar terbengkalai, tetapi hari ini ia bagai hidup kembali. Ia begitu rancak yang kadang-kala rakyat Pulau Pinang sendiri cuba mengelakkan pergi ke sana kerana kesesakan. Pergi ke pantai Batu Ferringhi, pergi ke Batu Maung, pergi ke Balik Pulau, pergi ke Seberang Perai, pergi ke Batu Kawan. Pergi ke KOMTAR. Anda akan melihat tempat-tempat ini dipulihkan dan dihidupkan semula selepas diketepikan selama bertahun-tahun oleh kerajaan lama.
Apabila kita mengatakan bahawa kita mahu meningkatkan pendidikan, kita laksanakan peruntukan tahunan kepada sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah Islam dan sekolah-sekolah mubaligh di Pulau Pinang.
Kita serahkan dana dalam bulan pertama tahun itu sendiri, tidak seperti kerajaan persekutuan di mana wang untuk 2014 hanya diterima pada tahun 2017 dan wang untuk 2016 hilang entah ke mana sampai sekarang.
Apabila kita mengatakan bahawa kita mahu membina modal insan, kita laksanakan Biasiswa Yayasan Pulau Pinang (Penang Future Foundation), program biasiswa berprestij untuk membiayai dan menarik bakat ke Pulau Pinang. Ada juga yang menggelar program ini sebagai versi Pulau Pinang bagi Biasisawa ASEAN yang terkemuka tajaan Singapura.
Kita membina KOMTAR Tech Dome untuk anak-anak kita, pusat sains yang paling canggih di utara Malaysia. Kita berikan kepada mereka Penang Science Cafe, hab untuk menggalakkan pembelajaran komputer dan sains robotik dalam kalangan anak muda Pulau Pinang.
Apabila kita mengatakan bahawa kita mahu memerangi rasuah dan memperbaiki keadaan kewangan negeri, kita laksanakan lebihan bajet sembilan tahun berturut-turut. Kita tingkatkan 100% rizab negeri daripada RM850 juta yang dicapai dalam 50 tahun di bawah BN kepada RM1.6 bilion dalam tempoh hanya sembilan tahun yang lalu. Dan demi anak-anak kita tidak menanggung beban hutang, kita berjaya mengurangkan hutang negeri sebanyak 90% pada akhir tahun 2015.
Apabila kita mengatakan bahawa kita mahu menyelesaikan masalah banjir di Pulau Pinang, kita laksanakan walaupun kekurangan bantuan persekutuan. Kita menyedari bahawa situasi baru dan perubahan iklim memerlukan penyelesaian baru bagi isu banjir. Kita tidak lari daripada tanggungjawab. Pada tahun ini, kerajaan negeri Pulau Pinang, di bawah portfolio saya akan memperuntukkan RM220 juta untuk menangani masalah banjir di seluruh Pulau Pinang.
Apabila kita mengatakan bahawa kita mahu untuk menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang, kita laksanakan 20,000 unit rumah mampu milik sejak 2008. Kita akan terus memastikan harga hartanah masih mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang. Baru-baru ini, kerajaan negeri menyampaikan berita gembira kepada 370 pembeli projek Majestic Heights di Paya Terubong, yang terbengkalai selama 22 tahun sejak tahun 1998, tetapi kini dihidupkan semula di bawah inisiatif bersama oleh kerajaan dan sektor swasta. Aspirasi rakyat Pulau Pinang untuk memiliki tempat yang boleh dipanggil rumah merupakan agenda utama DAP.
Apabila kita mengatakan bahawa kita mahu menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar antarabangsa masa hadapan, kita laksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Rancangan besar sehingga 2030 ini adalah untuk memperbaiki sistem pengangkutan di Pulau Pinang, bukan sahaja di Pulau tetapi juga untuk Seberang Perai.
Kita hamparkan kepada anda satu persisiran baru untuk Pulau Pinang, dengan taman-taman awam yang indah di sepanjang Persiaran Gurney dan the Light yang setaraf dengan Fisherman’s Wharf di San Francisco, Sydney Harbour di Australia dan Marina Bays di Singapura. Kita membayangkan jaringan perhubungan Pulau Pinang yang cekap dengan sistem pengangkutan awam yang baik, kemudahan berbasikal dan pejalan kaki, dan taman-taman awam bertaraf dunia.
Memperbaharui ikrar kita untuk masa depan yang lebih baik
Hakikatnya, DAP bukan sahaja komited untuk Pulau Pinang pada hari ini tetapi juga untuk Pulau Pinang pada masa depan demi anak-anak kita.
Saudara sekalian,
Sebagai komitmen kepada Pulau Pinang dan kepada masa depan Pulau Pinang, dan dengan pilihan raya umum yang akan datang, saya berbangga untuk mengumumkan bahawa DAP Pulau Pinang telah memilih “Menjamin Masa Depan Pulau Pinang” sebagai tema perjuangan kita.
Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi, kita telah membuat perjanjian antara satu sama lain pada tahun 2008, dan kemudian sekali lagi pada tahun 2013: kini pada tahun 2017, “Menjamin Masa Depan Pulau Pinang” adalah pembaharuan janji kami kepada anda, untuk dilaksana tidak kira apajua keadaan, untuk berkhidmat kepada anda dan untuk melindungi masa depan kita daripada kleptokrat.
“Menjamin Masa Depan Pulua Pinang” juga adalah komitmen kami untuk memastikan potensi terhebat bagi negeri Pulau Pinang tercinta ini akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang demi generasi muda kita.
Dan akhirnya, “Menjamin Masa Depan Pulau Pinang” adalah misi bersama kami dengan anda untuk menjadikan Pulau Pinang lebih baik, lebih maju dan lebih hebat.
Sekian, terima kasih.