Caj permit kenderaan asing tidak sepatutnya menjadi dasar balas dendam terhadap kenaikan caj VEP di Singapura. Dasar ini seharusnya menjadi suatu cara untuk mengurangkan kenderaan di pusat bandaraya Johor Bahru dan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.
Walaubagaimanapun, nampaknya kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan sistem VEP hanya kerana Singapura menaikkan caj terhadap semua kenderaan asing yang masuk ke Singapura dari S$20 ke S$35 bermula 1hb Ogos 2014.
Naib Ketua Pemuda UMNO Johor yang membidas saya kononnya tidak menjaga kepentingan negara nampaknya tidak membaca kenyataan penuh saya dan telah salah faham dengan kenyataan tersebut.
Saya tidak pernah menolak pelaksanaan VEP walaupun saya menegaskan bahawa, dasar ini tidak boleh diguna sebagai cara untuk membalas dendam terhadap kenaikan caj VEP Singapura. Kerajaan seharusnya mempunyai matlamat yang jelas untuk meningkat taraf kehidupan rakyat apabila melaksanakan mana-mana dasar, bukan sekadar respon pasif kepada dasar negara lain.
Namun begitu, saya dengan berbesar hati menjemput Datuk Khairul Anwar Rahmat untuk menghadiri suatu dialog mengenai kenaikan kadar tol dan VEP pada jam 2 petang, 2hb Ogos di Johor Bahru
Saya akan membentangkan laporan kajian saya dalam dialog tersebut untuk diperbincangkan supaya Datuk Khairul Anwar Rahmat serta orang ramai boleh memberi pandangan masing-masing.
Perbincangan seperti ini sangat penting kerana dasar yang akan dilaksana oleh kerajaan ini membawa kesan kepada rakyat Johor, khasnya golongan yang bekerja di Singapura dan perusahaan kecil dan sederhana di Johor Bahru.
Kerajaan sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan apa-apa dasar dan menawarkan alternatif supaya mengurangkan kesan negatif.
Sebagai seorang wakil rakyat Johor, saya amat kecewa kerana kerajaan BN membuat keputusan tanpa melakukan dialog atau perbincangan bersama rakyat dan terus mengambil suatu pendirian yang akan membawa kesan buruk kepada semua.
Saya ingin menekankan bahawa kerajaan Barisan Nasional mesti mengambil berat kebajikan warga Malaysia bekerja di Singapura seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan beberapa minggu yang lalu. Golongan ini adalah golongan yang akan menerima akibat seandainya dasar VEP tersebut tetap dilaksanakan.