Skip to content

Menolak budaya politik samseng

DAPSY membidas sekeras-kerasnya gejala budaya politik samseng yang semakin berleluasa di negeri Johor dan meminta YAB Dato’ Seri Khaled Nordin memastikan bahawa UMNO Johor mengamalkan budaya politik secara berhemah di negeri Johor.

Petang tadi sekumpulan individu berbaju merah menyerang program Sembang Kedai Kopi bersama Saudara Lim Kit Siang yang diadakan di Masai, Johor. Insiden ganas melampau ini berlaku di kawasan di dalam DUN Permas, iaitu kawasan DUN Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Khaled Nordin. Malahan, YAB Khaled Nordin juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang. Maka, Khaled Nordin bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden ini.

Program Sembang Kedai Kopi ini tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang negara. DAPSY mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan berbaju merah ini. Mereka melempar ugutan sehingga mengeluarkan perkataan “Kalau dia tak keluar, dia mati atau saya mati”. Apakah pihak PDRM Johor akan terus berdiam diri dan mengamalkan dua set undang-undang?

Sekalipun UMNO Johor dan sekutu mereka tidak bersetuju dengan penganjuran program ini, mereka sepatutnya mengadakan satu himpunan membantah secara aman. Bukannya menonjolkan aksi penuh samseng ini.

Selalunya, kami percaya walaupun kedua-dua parti UMNO-BN dan DAP bertarung di medan politik, tetapi para ahli dan penyokong kedua-dua pihak adalah cukup matang dan tidak melakukan perkara yang tidak bertamadun. Serangan yang begitu kasar dan jijik amat dikesali. Namun selepas kejadian demi kejadian kebelakangan ini, kami amat bimbang akan fenomena budaya samseng ini kian menular di Johor.

Kami menyeru supaya seluruh warga Malaysia dapat sentiasa bersikap waras dan bertenang. Walaupun berlainan pendirian politik kami yakin perbezaan fahaman dan pendapat dapat diselesaikan dengan cara perbincangan mahupun perbahasan yang waras tetapi bukan dengan cara samseng yang tidak bertamadun. Tindakan-tindakan yang berunsur samseng ini tidak akan memanfaatkan mana-mana pihak.