Saya telah mengemukakan soalan berhubung nama syarikat yang diberikan lesen pembalakan di seluruh negeri Johor dari 2009-2014 untuk Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-13 yang dijadualkan pada 12 Februari 2015. Namun begitu, soalan saya ini telah ditolak dengan bersandarkan alasan mengikut Peraturan Tetap Bilangan 25(3), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor.
Peraturan Tetap Bilangan 25(3), Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor menetapkan Dengan tiada mengindahkan apa-apa jua yang terkandung di atas ini, Menteri Besar atau ahli yang dialamatkan soal kepadanya itu boleh dengan persetujuan Speaker enggan menjawab soal yang tersebut itu dengan alasan bagi faedah am dan keengganan yang demikian itu tidak boleh dibahas atau disoal lagi.
Saya telah membawa isu pembalakan ini di dalam Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-13 pada hujung tahun 2014 dan ketika itu juga soalan saya ditolak dengan alasan mempunyai dua bahagian dalam soalan tersebut. Kali ini sekali lagi soalan saya ditolak.
Persoalannya, apakah yang menyebabkan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri begitu enggan untuk menjawap soalan mengenai kegiatan pembalakan di negeri Johor ini? Apakah yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat umum dalam soal kegiatan pembalakan ini?
Kegiatan pembalakan adalah isu yang besar. Kerajaan Negeri seharusnya bersedia untuk berkongsi maklumat dengan masyarakat umum supaya masyarakat dapat menjadi mata dan telinga untuk membantu mengelakkan terjadinya kegiatan pembalakan haram. Jika tidak ditangani dengan baik, ia akan membuka potensi untuk berlakunya kebinasaan terhadap flora dan fauna seperti yang dialami di Cameron Highlands dan beberapa negeri lain.
Menteri Besar dan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor juga tidak patut memanipulasi Peraturan Tetap Dewan Negeri untuk mengelakkan daripada menjawap soalan yang dibangkit oleh Ahli Dewan. Dewan Negeri tidak akan dapat memainkan peranannya sebagai badan penyemak imbang dengan tuntas apabila Kerajaan Negeri terus mengelakkan untuk memberikan maklumat-maklumat seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan.
Saya dengan ini menyeru Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Johor untuk bersikap lebih “gentleman” dan terbuka dalam memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri. Ini adalah penting bagi memastikan martabat Dewan Negeri sentiasa terpelihara sebagai Dewan Perundangan Tertinggi dalam negeri Johor.