Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Zambry Bin Abdul Kadir mesti berhenti daripada terus memberi gambaran salah kepada rakyat Perak bahawa sebuah lapangan terbang antarabangsa akan dibina di Perak.
Saya telah menerima jawapan di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berhasrat untuk membina lapangan terbang antarabangsa yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk dibina di Bagan Serai, Perak.
Di dalam satu sidang media pada tahun 2014, Dato’ Seri Zambry telah mengumumkan bahawa satu lapangan terbang antarabangsa sedang dirancang untuk dibina di Bagan Serai. Beliau menyatakan bahawa rancangan tersebut telah dikemukakan dalam tahun 2010 untuk kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Adalah sangat mendukacitakan bahawa Kerajaan BN Perak tidak mampu mendapat kelulusan untuk projek tersebut sungguhpun ia tidak melibatkan apa-apa perbelanjaan kewangan samada daripada pihak Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
Projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Bagan Serai merupakan satu projek initiatif swasta (Private Financial Initiative) di mana Sime Darby menyumbangkan tanah dan Air Asia menyumbangkan kos pembinaan.
Lapangan terbang yang dicadangkan di Bagan Serai ini hanyalah 15 minit dengan kenderaan ke Jambatan ke-2 Pulau Pinang (Jabatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah). Lapangan terbang yang dicadangkan ini boleh memberikan perkhidmatan kepada kedua-dua negeri Pulau Pinang dan Perak. Satu sebab utama Air Asia berkecedurangan kepada lokasi ini adalah kerana ia berdekatan dengan Negeri Pulau Pinang. Lokasi ini akan membolehkannya mendapat jumlah penumpang yang mencukupi daripada kedua-dua Negeri Pulau Pinang dan Perak untuk memastikan ia menjadi satu pelaburan yang menguntungkan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah mencapai kapasiti penuhnya dengan sebanyak 6.0 juta penumbang setahun. Lapangan terbang tambahan yang dicadangkan di Bagan Serai akan menlengkapkan lagi perkhidmatan yang diberikan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan bukan merupakan satu saingan kepada lapangan terbang tersebut.
Saya menyeru kepada rakyat Perak supaya tidak tertipu jika Dato Seri Zambry membuat pengumuman sekali lagi bahawa satu lapangan terbang antarabangsa akan dibina di Perak kerana jika ia dibuat, ia adalah semata-mata untuk memancing undi bagi Pilihanraya Umum ke 14 yang akan datang.