Skip to content

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani tidak sepatutnya mencuci tangan dengan menyerahkan sepenuhnya keputusan membatalkan Kebenaran Merancang(KM) kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT)

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani tidak sepatutnya mencuci tangan dengan menyerahkan sepenuhnya keputusan membatalkan Kebenaran Merancang(KM) kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) kerana MB mempunyai kuasa mutlak dalam keputusan membatalkan KM. MDPT masih perlu mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Perancang Negeri yang dipengerusikan oleh MB untuk pembatalan KM itu berkuatkuasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani telah membuat satu kenyataan bahawa Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya keputusan membatalkan Kebenaran Merancang (KM) kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) selaku PBT berkaitan isu penjualan tanah yang telah dirizabkan untuk pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani selaku Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Perak, tidak seharusnya mencuci tangan dengan menyerahkan sepenuhnya keputusan pembatalan KM kepada MDPT. Saya ingin mengingatkan Datuk Seri Saarani bahawa selaku Menteri Besar Perak, beliau mempunyai kuasa mutlak dalam keputusan membatalkan KM.

Berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) seksyen 25 (1), Jika didapati oleh pihak berkuasa perancang tempatan demi untuk kepentingan awam bahawa suatu kebenaran merancang yang diberikan…….. pihak berkuasa perancang tempatan boleh memerintahkan supaya kenbenaran atau kelulusan itu dibatalkan atau diubah suai setakat yang difikirkannya perlu.

Seksyen 25 (2) pula berbunyi, tiada pembatalan atau pengubahsuaian di bawah subseksyen (1) boleh dibuat sehingga disahkan oleh Jawatankuasa (Perancang Negeri).

Ini bermakna MDPT selaku PBT mempunyai kuasa untuk membatalkan KM di tanah lapangan terbang Seri Iskandar berdasarkan kepentingan awam. Namun keputusan MDPT untuk membatalkan KM tidak boleh berkuatkuasa sehingga keputusan itu disahkan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Perak.

Ia jelas di bawah peruntukan undang-undang bahawa Menteri Besar Perak mempunyai kuasa mutlak (final authority) dalam keputusan membatalkan KM.

Oleh kerana tanah tersebut telah dirizabkan untuk pembangunan lapangan terbang dan terdapat dakwaan-dakwaan dari sesetengah bahawa pihak penjualan tanah tersebut tidak mendapat kelulusan daripada ahli lempaga PKNP dan MMK, dan ia juga melibatkan kepentingan awam, saya sekali lagi menggesa Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani supaya membuat keputusan yang wajar dengan segera membatalkan KM tanah lapangan terbang Seri Iskandar sehingga siasatan dilakukan untuk mempertahankan hak dan kepentingan warga Perak.

Akta 172

Panduan pelaksanaan akta 172