Daripada mengutuk dan memperlekeh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (seorang akauntan bertauliah) supaya belajar ekonomi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sepatutnya memujuk Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor supaya meletakkan jawatan kerana masalah otak beliau, atau sekurang-kurangnya mengikuti kursus peribadi mengenai ekonomi sebelum boleh dibiarkan bertugas semula.
Adakah si Ku Nan ini cuba memberitahu rakyat supaya menyalahkn pembangkang kerana kenaikan harga petrol dan kadar tol? Bukankah kejatuhan nilai ringgit berbanding nilai dolar sehingga 45% sepanjang 4 tahun lalu adalah angkara Barisan Nasional (BN)? Ahli-ahli Parlimen BNlah yang bertanggungjawab meluluskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Parlimen. Malah kroni BNlah yang mengawal penjualan beras dan syarikat-syarikat kemudahan awam.
Bukan sahaja itu, harga barangan di pasaran juga ditentukan oleh kadar permintaan pasaran, dan langsung tidak ada kena mengena dengan pembangkang. Ku Nan ni sebenarnya dah kenapa? Terhantuk kepala?
Adakah Rahman Dahlan dan seluruh anggota Kabinet bersetuju dengan kenyataan Ku Nan bahawa pembangkang yang di belakang peniaga dan pemilik restoran yang menaikkan harga? Jika ya, mesyuarat Kabinet seterusnya wajar memutuskan supaya ditutup sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan atas kegagalan mengawal harga barang, dan membazir dana pembayar cukai.
Sekiranya Ku Nan dibenarkan untuk terus melalut dengan serangan-serangan bodohnya terhadap pembangkang tanpa sebarang tindakan daripada pihak kerajaan dan BN, mungkin selepas ini beliau akan mendakwa bahawa pembangkanglah di sebalik rompakan wang rakyat dari dana 1MDB, atau menuduh bahawa Jho Low adalah ahli parti DAP.