Skip to content

Menteri Kabinet tidak mengakui punca sebenar kemelesetan ekonomi negara

Sekali lagi saya meyakinkan diri sendiri bahawa Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan seorang badut yang sering mengeluarkan kenyataan yang cuba mengelirukan rakyat jelata. Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan telah menyatakan punca kenaikan harga oleh restoran-restoran merupakan angkara pembangkang.

Ini merupakan satu tuduhan yang tidak bukan sahaja tidak berasas malah tidak masuk akal dan melucukan. Keseluruhan rakyat jelata memahami bahawa inflasi ataupun kenaikan semua harga barangan, bukan sahaja harga makanan di restoran adalah disebabkan dasar-dasar kerajaan pusat yang membebani rakyat. Ini merupakan satu logik yang ringkas tetapi saya berasa hairan mengapa menteri tidak faham. Adakah Ku Nan benar-benar tidak faham ataupun sengaja tidak faham?

Sekiranya Ku Nan begitu yakin mengenai kenyataan beliau yang mengatakan terdapat mesyuarat kesatuan restoran yang dikuasai oleh PKR dan DAP untuk menidakkan usaha kerajaan yang cuba bantu rakyat selain memastikan harga ini diperbetulkan adalah benar, saya mencabar beliau untuk menyemak senarai nama pengusaha restoran di dalam negara ini dan berbandingkannya dengan senarai keahlian parti-parti komponen BN dan Pakatan Harapan. Saya yakin majoriti daripada mereka adalah ahli komponen BN jika mereka terlibat di dalam politik.

Sehingga kini, tidak kelihatan sebarang usaha kerajaan pusat untuk meringan beban rakyat berada di landasan yang betul kerana menteri-menteri kabinet tidak ingin mengaku punca-punca sebenar yang menambahburukkan ekonomi negara kita. Jika kerajaan ikhlas mahu menyelesaikannya, kerajaan wajib memberi tumpuan dan komited untuk melaksanakan 5 perkara di bawah:

  1. Mansuhkan GST
  2. Memulihkan keyakinan pelabur dengan menyelesaikan skandal 1MDB
  3. Membanteras gejala rasuah dan penyelewengan yang semakin berleluasa
  4. Memulihkan nilai Ringgit yang semakin menyusut
  5. Turunkan harga petrol

Saya yakin harga barangan di negara kita akan turun dan ekonomi Malaysia akan pulih sekiranya kerajaan berjaya melaksanakan 5 perkara di atas.