Skip to content

Menteri KBS patut bertanggungjawab ke atas prestasi paling buruk Malaysia di Sukan SEA dalam 40 tahun dan bukan menyalahkan atlet

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumi bahawa beliau berasa kecewa kerana kontinjen Malaysia tidak berada di kedudukan lebih tinggi di Sukan Sea Hanoi mencerminkan kegagalan berterusan pihak Menteri untuk memimpin sektor sukan negara.

Kenyataan beliau tiada beza dengan sikap menyalahkan atlet Malaysia bahawa mereka telah gagal menunjukkan prestasi yang lebih baik.

Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas prestasi paling buruk Malaysia di Sukan SEA dalam 40 tahun ialah Menteri Belia dan Sukan sendiri bukan para atlet Malaysia yang terpaksa berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan kepimpinan Menteri.

Contohnya, atlet Malaysia terpaksa bertempur dalam keadaan kekurangan dana berikutan tindakan Menteri memotong hampir 80% peruntukan untuk penyediaan sukan antarabangsa dalam Belanjawan 2022 berbanding Belanjawan 2018.

Pada tahun ini, selain Sukan SEA Hanoi 2021 kita bakal berdepan, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022. Pada tahun 2018, kita berdepan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia Jakarta 2018.

Selain itu, 253 atlet juga telah ditamatkan elaun latihan mereka manakala bagi atlet yang masih menerima elaun, ada di antara mereka telah mengalami pemotongan elaun secara mendadak sehingga 60% pemotongan.

Kekecewaan yang kononnya disuarakan Menteri tidak boleh diterima sama sekali, sedangkan banyak pihak termasuk saya sendiri telahpun memberikan amaran di Parlimen pada November 2021 bahawa sektor sukan negara bakal berdepan kemerosotan berikutan kegagalan kepimpinan Menteri Belia dan Sukan serta pemotongan mendadak peruntukan sukan.

Saya juga telah berkali-kali memberikan cadangan penambahbaikan yang tidak pernah diendah oleh pihak Menteri dan kini beliau pula menyalahkan atlet atas pencapaian yang merundum di Sukan SEA Hanoi.

Menteri Belia dan Sukan sepatut memohon maaf kepada para atlet dan semua peminat sukan Malaysia.

Sudah tiba masanya Menteri Belia dan Sukan mengakui kegagalan kepimpinannya dan mengambil langkah-langkah membina semula kekuatan sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet yang lebih baik bagi mencungkil dan mengekalkan lebih ramai bakat sukan Malaysia.