Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz harus membetulkan senarai palsu projek RT Pakatan Harapan(PH) daripada RM6.61 bilion kepada RM352 juta serta mendedahkan senarai projek RT zaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk buktikan keikhlasan beliau tidak mahu mempolitikkan isu ini.
Pendedahan senarai projek RT daripada PH sahaja, dan bukannya BN dan PN, dilihat sebagai satu serangan politik yang kotor ke atas PH. Malah apa yang didedahkan ialah penipuan semata-mata kerana daripada jumlah RM6.61 bilion yang diumumkan, 95% atau RM6.258 bilion, merupakan projek yang diwarisi dan sambungan dari zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH. Dalam kata lain projek RT di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan, tetapi sebenarnya hanya 5.3% daripada jumlah itu, yakni RM352 juta!
Kerajaan Tidak Bayar Satu Sen Pun Untuk Siaran Langsung Piala Dunia 2018 Sebaliknya Mendapat Untung RM3.3 Juta
Antara projek RT yang dimasukkan ke dalam “akaun” PH ialah kos penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 secara langsung di RTM sebanyak RM29.9 juta. Ini harus dikeluarkan daripada senarai Zafrul kerana kos tersebut ditaja oleh syarikat swasta iaitu AirAsia dan Maxis. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang menyoalkan pihak kami tentang bayaran RM29.9 juta kepada Sports Media & Distributor (pemegang hak penyiaran Piala Dunia 2018), patut mendesak Zafrul untuk mengugurkan kos penyiaran RM29.9 juta daripada senarai projek RT.
Sekiranya kedua-dua Menteri itu masih tidak faham, saya terangkan sekali lagi: AirAsia dan Maxis bayar RTM, RTM bayar Sports Media & Distributor. Menteri Komunikasi Dan Multimedia ketika itu, YB Gobind Singh Deo telah mengumumkan bahawa tidak ada satu sen pun dibayar oleh pihak kerajaan. Sebaliknya kerajaan mendapat untung RM3.3 juta hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
Jumlah RM 6.258 bilion projek RT BN yang dimasukkan ke dalam senarai PH merangkumi projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). KVDT2 telah ditawarkan kepada syarikat tersebut dengan harga RM5.265 bilion oleh kerajaan BN secara rundingan terus.
Setelah rundingan yang menyeluruh, kerajaan PH telah bersetuju untuk meneruskan projek tersebut dengan harga kontrak yang jauh lebih rendah, iaitu RM4.475 bilion, memandangkan ia juga melibatkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan demi untuk mengelakkan kes saman di mahkamah. Menteri Kewangan sepatutnya memuji kerajaan Pakatan Harapan kerana kami telah berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM790 juta.
Kegagalan Zafrul menyatakan penjimatan RM790 juta dan fakta bahawa ini ialah projek RT zaman BN, menunjukkan bahawa Menteri Kewangan sebenarnya bermotifkan poltik dengan niat tidak baik.
Menteri-menteri “Pengkhianat” PH Harus Tampil Untuk Menjelaskan Projek RT Mereka.
Lebih kurang RM352 juta atau 5.3% daripada RM6.61 bilion merupakan perolehan ‘baru’ RT yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Mantan Menteri-menteri PH yang setia kepada mandat rakyat pada pilihanraya umum 2018, telahpun menjelaskan semalam projek RT dalam Kementerian masing-masing.
Yang masih belum memberi penjelasan ialah Menteri-menteri “pengkhianat” PH, yang sebelum ini menafikan di Parlimen dan dalam kenyataan akhbar. Pembohongan Menteri-menteri “pengkhianat” PH dibongkar dengan pendedahan senarai Zafrul yang menunjukkan bahawa Kementerian yang disandang sebelum ini:-
- Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meminta RM 517.7 juta;
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) meminta RM 170.8 juta;
- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Dato Seri Azmin Ali) meminta RM 1.2 juta; dan
- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Datuk Seri Rina Harun) meminta RM 7.36 juta.
Menteri-menteri “pengkhianat” ini harus tampil ke depan untuk membuktikan mereka tidak bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan “Langkah Sheraton”.
Sekiranya tidak mahu isu ini dipolitikkan, Zafrul harus mendedahkan projek RT zaman BN, dan yang penting sekali projek RT yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional(PN). Buktikan semua projek RT yang diluluskan oleh Zafrul sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM) yang hanya berhasrat mengkaji projek RT PH, tetapi tidaknya projek RT BN atau PN.
Biar fakta berbicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar.