Skip to content

Menteri Komunikasi dan Multimedia perlu bertindak untuk membatalkan proses pencalonan Festival Filem Malaysia 2016 yang telah diumumkan dan mengarahkan proses pencalonan semula diadakan

Isu segregasi Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) mengikut kategori bahasa yang berlainan telah menimbulkan perdebatan hangat bukan sahaja di kalangan penggiat industri seni malah di kalangan masyarakat umum. Ini berikutan keputusan penganjur FFM untuk tidak melayakkan 2 filem popular dan berkualiti iaitu “Ola Bola” dan “Jagat” untuk kategori Filem Terbaik.

Setiap rakyat Malaysia yang menonton filem “Ola Bola” sudah tentu akan bersetuju bahawa mesej yang dibawa oleh filem tersebut menjana semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan meraikan kepelbagaian kebudayaan dalam masyarakat Malaysia. Walaupun terdapat sedikit kritikan bahawa perwatakan dan jalan cerita filem tersebut tidak mengikut fakta sejarah yang sebenarnya, namun ia masih dianggap sebagai sebuah filem yang sangat berkualiti dan amat layak dicalonkan sebagai Filem Malaysia yang terbaik untuk tahun 2016.

Filem yang membawa mesej perpaduan dan integrasi seperti Ola Bola sepatutnya digalakkan dan diraikan kerana ia merupakan satu pendekatan yang sangat berkesan untuk menyemai mesej positif dan menanam semangat kekitaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara kita.

Rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan isu-isu perkauman yang ditimbulkan oleh puak-puak rasis dalam percaturan politik negara. Janganlah sampai industri seni pun dicemarkan dengan sentimen perkauman.

Justeru itu, saya menyeru Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk segera mengarahkan pihak FINAS untuk membatalkan proses pencalonan yang telah diumumkan dan menjalankan proses pencalonan semula dengan mengambil kira beberapa filem berkualiti seperti Ola Bola dan Jagat untuk dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik Malaysia.

Saya telah menghubungi Datuk Seri Salleh sebentar tadi melalui telefon dan beliau berjanji untuk melihat dengan mendalam isu ini sejurus beliau kembali ke Kuala Lumpur dari Sabah pada hari Isnin depan.

Saya berharap beliau dapat mengambil satu tindakan yang positif untuk memperbetulkan keadaan ini dan tidak membiarkan isu segregasi Festival Filem Malaysia ini mencemarkan kemuliaan bulan Ogos yang sepatutnya diraikan sebagai bulan perpaduan nasional menjelang Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September!