Skip to content

MENTERI KPKT NGA KOR MING DIPERKENAN UNTUK MENGHADAP SULTAN PERAK

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diperkenan untuk menghadap Sultan Perak Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah merangkap Timbalan Yang Di-Pertuan Agong di Istana Hinggap Perak di sini semalam.



Dalam sesi menghadap itu, YB Nga Kor Ming telah menerangkan pelbagai pencapaian, anugerah yang telah dimenangi oleh kementerian serta pelbagai inisiatif kementerian untuk membantu rakyat sejak Kerajaan Madani dibentuk pada Disember, 2022. 

Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus memacu pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) yang berkualiti tinggi serta model baru Program Perumahan Rakyat (PPR) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam sesi yang berlangsung hampir sejm itu, juga dipersembahkan siri kejayaan KPKT dalam melaksanakan pembinaan prasarana awam termasuk model baru pasar-pasar awam, inisiatif tandas awam bertaraf ‘BMW’, MyKiosk yang bertenaga hijau, PBT Pay, penambahbaikan Garis Panduan OSC 3.0 plus, inovasi dari pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan banyak lagi.

Tahun ini juga bakal menyaksikan Pelancaran Bandar PR1MA pertama di Malaysia yang berdekatan tapak pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Teluk Intan, yang akan menawarkan lebih 1,000 unit Rumah Mampu Milik yang berkualiti tinggi serta perancangan bandar yang mampan, lestari dan selesa. 

Projek berkenaan akan dilaksanakan di atas tanah seluas 57.5 hektar (142 ekar) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM800 juta.