Siri pertuduhan siber terhadap pereka grafik Fahmi Reza berhubung kiriman Facebook terhadap PAS yang dikaitkan dengan isu larangan jualan bir pada tahun 2020 dan kiriman Twitter sebelum ini terhadap seorang Menteri menyerlahkan perkara aneh bahawa di Malaysia, kuasa digunakan untuk melindungi yang kuat daripada yang lemah. Menteri dan parti politik yang memerintah harus menggunakan kuasa mereka untuk melindungi orang awam dan tidak bergantung kepada kuasa kerajaan untuk melindungi diri mereka daripada kritikan awam.
Semasa PH mentadbir Putrajaya, tiada siapa yang didakwa di bawah undang-undang siber kerana mengkritik Perdana Menteri, Menteri atau parti politik tidak kira betapa palsu dan tidak adilnya kritikan itu, termasuk serangan berbaur perkauman dan ekstremis yang tidak berasas. Walaupun terdapat ancaman siber terhadap keselamatan peribadi Menteri PH dibuat, tiada tindakan yang diambil daripada pihak berkuasa.
Mengapa pihak berkuasa perlu mendakwa Fahmi sedangkan tiada tindakan undang-undang saman fitnah diambil oleh Menteri terhadap Fahmi? Jelas sekali ruang awam untuk kritikan dan kebebasan bersuara dengan perlahan akan hilang di bawah rejim ekstremis yang tidak mempedulikan demokrasi dan bahaya rasuah. DAP menggesa dakwaan ini ditarik balik untuk menunjukkan bahawa Malaysia menghormati kebebasan internet daripada campur tangan kerajaan.
Fahmi didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar untuk membuat hantaran jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, dan berdepan dengan denda tidak melebihi RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya. Kerajaan BN dan PN yang tidak dipilih rakyat sememangnya begitu rapuh dan takut kerana merasa terancam dengan seorang pelukis grafik sehingga kekuatan dan kuasa jentera kerajaan sepenuhnya digerakkan berkali-kali menentang Fahmi.