Rakyat Malaysia lebih yakin bahawa Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah bercakap benar manakala Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Menteri Belia dan Sukan (yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah berbohong. Kedua-dua menteri UMNO ini patut meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia setelah Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan pembohongan mereka bahawa kononnya bayaran RM1.6 juta untuk membawa masuk arti K-Pop telah dibiaya penuh oleh penaja, serta pembohongan bahawa kononnya pihak polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan alatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.
Ambrin menegaskan bahawa beliau tidak mendapat sebarang jawapan daripada pihak polis tentang isu kehilangan peralatan, termasuk 44 senjata api, 29 kenderaan, 26 buah walkie talkie, 22 radio dan peralatan lain berjumlah RM1.3 juta. Setakat ini orang awam dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bahawa senjata api yang hilang itu berkemungkinan jatuh ke dalam laut, walaupun tidak ada laporan polis yang dibuat lantaran kehilangan tersebut. Adakah 29 buah kenderaan polis itu juga turut ke laut perginya?
Bagaimana Ahmad Shabery sanggup berbohong bahawa ada pihak swasta yang menaja RM1.6 juta yang dibayar oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk membawa tiga kumpulan K-Pop untuk sambutan Hari Belia sedangkan Tan Sri Ambrin memberitahu bahawa pegawai-pegawai kementerian pun tidak menafikan bahawa wang tersebut datang daripada peruntukan kerajaan? Jelas sekali bahawa kedua-dua menteri mesti segera meminta maaf; jika tidak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mestilah bertindak sekiranya beliau mahu mengekalkan sebarang sisa keyakinan awam terhadap kejujuran, kemahiran dan profesionalisme menteri-menterinya.
Kegagalan dan salahlaku kewangan yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 menyerlahkan pelanggaran kepatuhan berbentuk jenayah dalam 5 prinsip asas yang diperlukan dalam menguruskan dana awam iaitu; keperluan akauntabiliti awam, ketelusan, nilai ringgit, persaingan secara terbuka dan adil serta transaksi yang adil. Kegagalan dan salahlaku kewangan dalam urusan kerajaan adalah amat kritikal terhadap ekonomi negara kerana perolehan dari segi barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun membentuk 25% daripada kadar nominal KDNK berbanding ekonomi negara maju lain di mana perolehan tahunannya hanyalah 12% daripada KDNK.
Ketirisan, pembaziran dan salah laku kewangan ini memberi kesan buruk terhadap kadar pertumbuhan ekonomi. Dengan kata lain, Malaysia rugi dua kali ganda berbanding negara maju dalam hal rasuah atau pembaziran dana awam. Pemimpin BN tidak patut menafikan hakikat ini tetapi mengambil langkah-langkah untuk menangani kelemahan-kelemahan yang disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, iaitu:
-
Pelan pemerolehan yang tidak mencukupi dan penyusunan spesifikasi yang lemah;
-
Penggunaan tender terbuka yang tidak mencukupi;
-
Kegagalan untuk menyatakan belanjawan maksima;
-
Kurangnya pemantauan dan penilaian.