Skip to content

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Rina Harun tidak berpegang kepada kata dan janji diatas kelewatan pembayaran kenaikan kadar petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam ucapan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada November tahun lepas

Mengikut ucapan Belanjawan 2021 yang dibaca oleh Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 6 November 2020, dibawah butiran poin #100, beliau menyatakan, –

“Pada masa ini, kadar bayaran bulanan yang diterima oleh penyelia dan petugas di bawah Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti atau PDK tidak pernah dikaji sejak tahun 2008. Maka, atas keprihatinan Kerajaan, bagi tahun hadapan, kadar petugas PDK akan dinaikkan daripada 800 kepada 1,200 ringgit sebulan, manakala kadar penyelia dinaikkan daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Kenaikan ini akan memanfaatkan 3,500 petugas dan penyelia PDK seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan 100 juta ringgit”.

Selepas 12 tahun, sememangnya wajar untuk kadar petugas PDK dikaji semula dan kenaikan dalam gaji mereka ini semestinya disokong dan dialu-alukan, lebih-lebih lagi di dalam keadaan yang sungguh mencabar ini dengan kos sara hidup yang melambung.

Saya telah memperoleh maklumat bahawa susulan dari pengumuman Menteri Kewangan, bahawa pembayaran kadar baru bagi petugas PDK hanya akan bermula pada bulan April 2021. Maka, dalam perbahasan saya di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), saya menuntut jawapan Menteri KPWKM Rina Harun adakah benar gaji merrka akan lewat 4 bulan dibayar dan mengapa wujudnya kelewatan pembayaran tersebut, di Dewan Rakyat pada pada 8 Disember 2020.

Menteri pada awalnya syak wasangka terhadap maklumat yang saya kongsi oleh beberapa staf PDK kepada saya dan saya telah menegurnya sebagai Menteri, adakah beliau sendiri tidak percayakan staf PDK beliau dan menuding jari bahawa mereka ini tidak jujur?

Selepas ditekan, akhirnya Menteri KPWKM telah mengesahkan dan menjamin dalam jawapan di Dewan Rakyat bahawa kadar baharu gaji anggota PDK akan dibayar pada bulan Januari 2021, sehinggalah Disember.

Namun demikian, selepas pejabat saya menyiasat kesahihan kenyataan Menteri, slip gaji bulan Januari 2021 masih menunjukkan bahawa kadar petugas PDK masih kekal dibawah skim penggajian yang sama – dan dalam kes ini masih kekal RM800.

Dengan gaji barisan eksekutif, Menteri dan Timbalan Menteri yang berlambak, saya kecewa Menteri KPWKM tidak mengutamakan gaji petugas PDK yang bekerja menjaga dan melindungi golongan yang lemah dalam komuniti. Mungkin kenaikan RM300 dan RM400 tidak penting untuk seorang Menteri tapi amat bermakna bagi warga marhaen diluar sana.

Menteri jelas tidak berpegang kepada kata, tidak mengotakan janji dan tidak membela nasib askar wataniah akar umbi seperti staf petugas PDK untuk dibayar gaji mengikut skim baharu seperti yang dijanjikan di Parlimen tempoh hari.

Kealpaan, kelalaian dan sikap tidak bertimbang rasa oleh Menteri KPWKM Rina Harun adalah bukti beliau tidak faham akan kesusahan warga marhaen dan tidak layak untuk memegang jawatan sebagai seorang Menteri.

Pada awalnya dengan menggunakan komik Jepun, Doraemon untuk memupuk konsep kebertanggungjawaban bersama, menasihat kaum wanita untuk memakai alat solek untuk suami mereka, kepada pemberhentian sementara Talian Kasih 15999 yang mustahak untuk melaporkan insiden keganasan rumahtangga, penderaan kanak-kanak, kemurungan dan kecenderungan membunuh diri, soalan lazim mengenai bantuan COVID-19 dan kebajikan, kontroversi bakul makanan tahun lepas, perekrutan ahli Srikandi BERSATU sebagai “sukarelawan berbayar” dibawah Yayasan Kebajikan Negara, sebuah agensi dibawah KPWKM, kepada isu ini, adalah jelas Rina Harun tiada bakat memimpin.

Sebagai Menteri, Rina Harun harus berjuang untuk petugas PDK dibayar kadar baharu seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perikatan Nasional agar pembayaran kadar baru kepada 3,500 petugas PDK akan dilaksanakan secepat mungkin tanpa kelewatan lagi.

Jika ini pun tidak dapat dilaksakan oleh Menteri KPWKM, maka sudah tiba masa beliau mengundur diri dan memberi peluang kepada seorang yang berkaliber, dan menjunjung semangat perjuangan untuk semua warga seperti Datuk Seri Wan Azizah untuk memimpin kementerian yang penting ini seperti di zaman Pakatan Harapan.