Sekolah Semua dan AOD Malaysia telah menjalankan tinjauan nasional “Diskriminasi dalam Pendidikan” pada 1 hingga 10 September 2021 menggunakan perkhidmatan firma penyelidikan Vase.ai untuk mempelopori pemahaman umum tentang ciri-ciri diskriminasi yang mungkin dialami oleh pelajar di Malaysia.
Tinjauan nasional mereka yang melibatkan 2,441 responden, adalah mengenai pengalaman membabitkan diskriminasi masa lalu dalam sistem pendidikan.
Hasil tinjauan mereka menunjukkan bahawa kira-kira separuh (50%) rakyat Malaysia melaporkan mereka telah mengalami diskriminasi dalam pendidikan. Dari jumlah tersebut, 36% mengalami diskriminasi lisan, 21% mengalami gangguan atau buli, dan 18% dinafikan akses kepada peluang disebabkan identiti mereka.
Responden muda (18-30) melaporkan lebih banyak pengalaman mengenai diskriminasi (59%) dalam pendidikan berbanding orang yang lebih tua (46+ 43%; 31-45 45%).
Responden kaum India juga melaporkan kadar tertinggi mengalami diskriminasi lisan (54%) dan dinafikan akses kepada peluang disebabkan identiti mereka (40%) berbanding dengan kumpulan kaum lain.
Meskipun terdapat banyak cerita pengalaman membabitkan diskriminasi tersebar luas dalam wacana umum, ini mungkin adalah kali pertama data untuk mengira seluas mana diskriminasi berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia dikumpulkan secara sistematik.
Usaha Sekolah Semua dan AOD Malaysia harus dihargai dan tidak boleh disia-siakan. Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi harus mengadakan mesyuarat dengan Sekolah Semua dan AOD Malaysia dalam sama terdekat untuk membincangkan hasil tinjauan mereka. Ini juga selaras dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang dilaungkan oleh YAB Perdana Menteri Ismail Sabri.
Kerajaan Ismail Sabri harus berusaha untuk menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi dalam usaha mencerminkan konsep “Keluarga Malaysia”.
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus memandang serius terhadap hasil tinjauan nasional “Diskriminasi dalam Pendidikan” dan mengemukakan cadangan dan rancangan susulan untuk menghapuskan sebarang persepsi negatif terhadap sistem pendidikan kebangsaan. Rancangan tersebut harus dijadikan sebagai KPI 100 hari untuk kedua-dua Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi.