Menteri Pendidikan YB Maszlee Malik harus diperingatkan bahawa pembaharuan dan penambahbaikan polisi terhadap SUWA dan pengiktirafan Sijil UEC adalah perkara yang didokong oleh Pakatan Harapan sepanjang masa ini dan juga yang diharapkan oleh rakyat. Segala jawapan yang diberikan oleh Menteri sepatutnya memaparkan kesediaan Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan pembaharuan ini dan bukannya bergantung semata-mata kepada jawapan-standard-ala-BN (BN’s minded standard answers) dalam isu tersebut.
Menteri Pendidikan telah memberikan jawapan bertulis di Parlimen yang berbunyi “KPM tidak menyediakan peruntukkan bagi sekolah dan murid yang belajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kerana SMPC tidak digolong di bawah mana-mana kategori institusi pendidikan dalam sistem pendidikan nasional. Jawapan sebegini adalah amat dikesali yang mana ia seolah-olah telah membawa usaha menambahbaikan isu SMPC balik ke zaman pemerintahan Barisan Nasional dan ini bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh rakyat yang telah memberikan mandate kepada PH dalam PRU yang lepas.
SMPC walaupun sedia maklum tidak dikategorikan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan nasional, telah memainkan peranannya dalam sistem pendidikan negara. Sumbangan SMPC dalam melahirkan modal insan kepada negara kita haruslah diiktiraf. Justeru itu, sepanjang masa ini, Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah mengambil langkah pembaharuan dan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap kedudukan SMPC, yang mana juga telah mendapat sambutan yang baik.
Pemberian bantuan dan peruntukkan kepada SPMC bukan sesuatu yang baru, dan ia sekadar tidak pernah dilaksanakan oleh Kerajaan BN pada masa dulu.
Di Negeri Perak, Kerajaan Pakatan Rakyat pada 2008 telah melaksanakan polisi yang baru dan memberikan tanah seluas 1000 hektar kepada 9 buah SPMC di negeri Perak supaya ia boleh dimajukan untuk tujuan menjana pendapatan kepada Lembaga SPMC dan membolehkan SPMC tersebut menanggung kos pembelajaran tahunan masing-masing tanpa bergantung kepada KErajaan. Pada masa yang sama, tanah seluas 1000 hektar juga diberikan kepada sekolah-sekolah agama rakyat di Negeri Perak yang turut tidak diberikan perhatian dan tidak dititik-beratkan oleh Kerajaan BN pada ketika itu.
Polisi ini turut diikuti oleh Kerajaan BN Sarawak pada tahun 2011 yang mana mereka turut meluluskan 2000 hektar tanah kepada SPMC di Sarawak untuk tujuan yang sama.
Di Negeri Pulau Pinang, sekurang-kurangnya RM16 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada SPMC dalam masa 10 tahun yang lepas. Kerajaan Negeri Selangor pula telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta setiap tahun sejak 2009 untuk membantu SPMC dalam pembelajarannya.
Jelas, jawapan bertulis yang diberikan oleh Menteri Pendidikan sekadar mengulangi pendirian Kementerian Pendidikan sejak zaman Barisan Nasional dan telah gagal sama sekali memaparkan agenda pembaharuan oleh PH dalam isu ini. Bantuan Kerajaan tidak seharusnya dinafikan semata-mata kerana SPMC tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan nasional.
Sekiranya Menteri Pendidikan kurang arif berkenaan dengan pembaharuan dan agenda Pakatan Harapan dalam isu SPMC sepanjang masa ini, saya bersama-sama dengan rakan-rakan backbencher saya bersedia untuk menawarkan bantuan kami kepada Menteri Pendidikan supaya beliau boleh memahami sejarah dan isu ini dengan lebih mendalam.