Tidak ada sesiapa yang mempunyai fikiran rasional boleh menerima tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan KTMB terhadap Abdul Razak Md Hassan selaku pengerusi Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM). Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai seharusnya bertanggungjawab untuk hentikan kes penyalahkuanan kuasa ini segera!
Menurut Malaysiakini, Abdul Razak Md Hassan diminta mempamerkan mesej mohon maaf setiap hari di akaun facebook beliau serta laman web RUM sepanjang 90 hari kepada Elias Kadir selaku Presiden KTMB.
Jelasnya tindakan ini adalah balas dendam peribadi terhadap Abdul Razak Md Hassan kerana mengetuai piket menentang pihak pengurusan KTMB yang tidak efisyen.
Sebagai Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai tidak boleh mendiamkan diri dalam kes yang tidak masuk akal seperti ini. Sekiranya pihak pengurusan KTMB yang dilantik oleh kerajaan BN tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan hati, Liow Tiong Lai perlu mengambil keputusan untuk menukar pengurusan syarikat tersebut.
Suatu masa dahulu KTM pernah menawarkan perkhidmatan yang amat efisyen dan penting untuk penduduk-penduduk di pekan.
Walaubagaimanapun, KTM semakin diketepikan dalam perkembangan ekonomi negara kita kerana kerajaan BN tidak berhasrat menggunakan sepenuhnya aset yang sedia ada mahupun menjaga kepentingan pekerja-pekerja KTMB. Sebaliknya, kerajaan BN lebih berminat menerima tawaran pembinaan projek besar dan kos tinggi yang menguntungkan kroni.
Melihat projek trek bekembar dari Gemas ke Johor Bahru di mana kita tahu tanah telah siap diambil, bangunan-bangunan telah dirobohkan, namun kita tidak dengar sebarang berita mengenai projek tersebut yang seharusnya disiap bina pada tahun 2016.
Selain daripada itu, perkhidmatan keretapi berulang-alik setiap jam di antara Woodlands dan Johor Bahru tidak ditunaikan lagi selepas kelewatan sepanjang dua bulan! Pihak KTM membuat pengumuman pada hujung bulan November 2014 tetapi menangguhkan tawaran perkhidmatan satu minggu selepas pengumuman.
Anak Malaysia yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura telah penat dengan janji kosong pihak pengurusan KTMB dan pemimpin BN.
Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan seharusnya bertanggungjawab untuk KTMB yang mempunyai tahap prestasi rendah, khasnya pemimpin yang menyalahguna kuasa dalam kes piket RUM. Beliau mesti menukar pemimpin pengurusan KTMB, mengembalikan keadilan kepada semua pekerja-pekerja KTMB segera!