Pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada kepada sektor ekonomi dan pekerjaan, malah ia telah menjejaskan segmen terpenting dalam institusi keluarga iaitu kanak-kanak. Ibu bapa yang kehilangan punca pendapatan atau kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 kini amat terkesan terutama sekali melibatkan keperluan susu dan lampin pakai buang mereka. Ia dapat dilihat daripada jumlah permohonan yang diterima melalui inisiatif Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang mahu memberikan sumbangan susu dan lampin pakai buang kepada kanak-kanak yang terkesan di Seremban. Hanya dalam tempoh 12 jam selepas permohonan bantuan susu dan lampin pakai buang dibuka, beliau telah menerima sebanyak 1,308 permohonan dari seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, saya segera menyahut seruan tersebut dan menyokong usaha murni ini dengan membelikan susu dan lampin pakai buang untuk membantu keluarga yang terkesan di Kuala Lumpur. Agihan sumbangan turut dibantu oleh Wanita DAP Kuala Lumpur dan saya juga telah hadir bersama-sama bagi menyampaikan bantuan tersebut kepada ibu dan kanak-kanak yang terkesan di Kampung Datuk Keramat, Titiwangsa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun harus lebih cakna akan keperluan kanak-kanak terutama keluarga yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk menyediakan keperluan susu dan lampin pakai buang kepada mereka dan tidak hanya menumpukan kepada bantuan bakul makanan kering sahaja.