Masalah kebergantungan kepada pekerja asing kurang mahir dalam sektor perladangan sawit adalah satu isu yang diketahui umum. Kita tidak perlu dengar ulasan seorang yang bertaraf Menteri semata-mata mengulangi perkara yang sudah menjadi pengetahuan am – yakni, orang tempatan kurang berminat untuk bekerja dalam sektor ini. Malah, celoteh menteri tentang bagaimana pekerjaan ini menawarkan gaji lumayan tetapi pekerja tempatan masih memilih-milih kerja adalah tidak wajar sama sekali.
Sekiranya rakyat Malaysia adalah pemalas dan mengelak daripada kerja kotor, sukar dan bahaya ataupun 3D (dirty, difficult, dangerous), kenapa beribu-ribu rakyat Malaysia sudi bekerja di ladang epal di Australia untuk memetik buah epal? Tambahan pula, rakyat negara kita merupakan kumpulan yang paling besar di kalangan pekerja asing tanpa izin di Australia menurut satu laporan media tidak lama dahulu. Pekerjaan yang dibuat oleh PATI rakyat Malaysia di Australia adalah kerja kotor, sukar dan bahaya.
Justeru ini bukan masalah rakyat kita terlalu memilih. Masalahnya ialah proses kerja di sektor perladangan sawit Malaysia masih berorientasikan aktiviti yang intensif buruh dan tiada nilai produktiviti yang tinggi.
Umum diketahui bahawa sawit adalah komoditi yang amat penting bagi negara kita. Oleh itu, kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir. Yang menjadi Menteri jangan hanya ketengahkan masalah, kita semua sudah tahu masalahnya. Apa yang kita perlu daripada kerajaan ialah solusi.
Salah satu jalan penyelesaian ialah untuk melabur dalam teknologi terutamanya untuk kerja-kerja yang pada masa kini bersifat intensif buruh seperti pembajaan dan penuaian buah sawit. Dengan aplikasi teknologi ini, sektor perladangan sawit boleh mengurangkan tenaga buruh kurang mahir terutamanya dari kalangan pekerja asing. Sebaliknya, pengusaha boleh mengambil pekerja rakyat Malaysia dengan gaji yang lebih lumayan untuk mengendalikan peralatan serta mesin berteknologi tinggi tersebut.
Dalam aspek ini, kerajaan perlu memimpin dan tidak menunggu pihak swasta. Jika tidak masalah ini tidak akan berakhir sekiranya tiada pihak yang sanggup melabur dalam peningkatan teknologi sektor perladangan sawit. Tingkatkan subsidi untuk membantu ladang-ladang beralih daripada proses yang intensif buruh kepada proses berteknologi tinggi.
Perkara ini bukannya “rocket science”, dan kabinet gergasi dengan barisan timbalan menteri yang sama ramai jangan buang masa memberitahu kita masalah yang sudah diketahui umum. Rakyat dan industri hendakkan penyelesaian dan ini memerlukan iltizam politik di pihak pemerintah. Rancangan kerajaan untuk mengambil 32,000 pekerja asing ialah umpama mengambil jalan pintas, makan panadol walaupun menghadapi masalah yang lebih berat. Datang lagi beberapa tahun, kita akan dipaksa berdepan isu yang sama berulang kali.
Tambahan pula, kita tidak boleh anggap bahawa pekerja asing akan sentiasa sudi untuk datang bekerja di negara kita. Mereka merupakan penghijrah ekonomi, di mana tempat yang menawarkan pekerjaan yang lebih lumayan, di situ mereka akan pergi. Hari ini mungkin Malaysia sebuah destinasi ekonomi yang menarik kepada golongan ini , besok apabila negara lain memberikan tawaran yang lebih baik, mereka pula akan beralih ke sana. Apa akan terjadi dengan industri kita pada masa itu? Jika kita tidak mula merancang dengan baik pada hari ini, sektor perladangan kita berisiko besar menjadi lumpuh di masa hadapan nanti.