Skip to content

Menteri yang bertanggungjawab mengesyorkan pembayaran kos pampasan RM320 juta untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura perlu letak jawatan

Malaysia menjadi bahan ketawa antarabangsa kerana mencadangkan untuk menghidupkan semula HSR KL-Singapura selepas membayar pampasan RM320 juta (S$102.8 juta) kepada Singapura kerana membatalkan projek itu awal tahun ini. Dasar yang berubah-ubah ini adalah simbolik kepada ketidakcekapan dan ketidakpastian Kerajaan PN dan BN yang menyebabkan pembayar cukai menanggung RM320 juta yang tidak perlu untuk sebuah projek yang sudah bermula, dihentikan dan dimulakan semula.

Kerajaan PH telah menangguhkan projek itu pada 2018 bagi membolehkan kajian semula terhadap harga terlalu tinggi dan struktur kos yang dipersetujui oleh Kerajaan BN terdahulu. Bagaimanapun, Kerajaan Muhyiddin Yassin sanggup membayar RM320 juta ringgit untuk memungkiri janji terbukanya untuk meneruskan projek HSR KL-Singapura dan sebaliknya menggantikannya dengan HSR KL-Johor Baru. Projek HSR tersebut tidak berdaya maju daripada segi kewangan dan tidak praktikal daripada segi logistik jika landasan kereta apinya berhenti di Johor Bahru dan tidak melalui Singapura.

Cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri untuk menghidupkan semula laluan asal HSR adalah masuk akal kerana penumpang hanya akan mengambil masa 2.5 jam untuk perjalanan antara KL dan Singapura, termasuk 90 minit perjalanan kereta api sebenar, dan anggaran 15 minit untuk pemeriksaan imigresen di setiap negara, serta masa pemindahan 15 minit antara pusat bandar dan stesen HSR. Ini dapat dibandingkan dengan anggaran masa perjalanan termasuk pemeriksaan imigresen menggunakan kapal terbang (4.2 jam), bas (6.5 jam), perkhidmatan kereta api antara bandar KTM (9.5 jam).

Perlu ada akauntabiliti dan ketelusan penuh untuk menuntut peletakan jawatan Menteri yang bertanggungjawab membuat syor untuk membatalkan HSR KL-Singapura yang telah merugikan negara sebanyak RM320 juta. Muhyiddin Yassin telah pun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, maka Menteri-Menteri yang terlibat seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamad dan Kementerian Pengangkutan perlu memberi penjelasan.

Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung telah mendedahkan pada Mac tahun ini bahawa sebab utama kedua-dua negara tidak dapat mencapai persetujuan mengenai projek HSR adalah kerana Malaysia mahu menghapuskan syarikat aset tender bersama (AssetsCo). Ong menambah bahawa melalui tender antarabangsa yang terbuka dan telus, AssetCo akan memastikan akauntabiliti kepada kedua-dua negara. Jelas bahawa kekurangan komitmen terhadap ketelusan dan tender terbuka oleh kerajaan Malaysia ini mengecewakan. Adakah Ismail Sabri kini akan setuju dengan tender terbuka dan ketelusan bagi HSR KL-Singapura yang dihidupkan semula serta memastikan struktur kos tidak terlalu tinggi dan merugikan Malaysia?