Skip to content

Menuntut supaya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk memberi penjelasan dan menjawab kepada insiden sebuah feri yang dibiarkan dan separuh tenggelam di Sungai Perai

Saya merujuk kepada gambar yang ditular di laman media sosial berkenaan dengan sebuah feri yang telah dibiarkan dan telah separuh tenggelam di Sungai Perai.

Umum mengetahui bahawa perkhidmatan feri telah dihentikan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada 31 Disember 2020 dan ini telah membawa kepada penamatan sejarah yang penting khasnya buat warga Pulau Pinang di mana feri ini merupakan lambang yang unik kepada Pulau Pinang.

Meskipun desakan telah dibuat dan rakyat Pulau Pinang secara umumnya menuntut agar perkhidmatan tersebut diteruskan sebagai satu mod pengangkutan yang penting untuk Negeri Pulau Pinang, perkhidmatan feri tetap ditamatkan dibawah pemerintahan Perikatan Nasional.

Ini juga adalah bertentangan dengan janji yang telah dibuat oleh YB Tengku Zafrul Aziz, Menteri Kewangan di sidang Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 untuk meneruskan perkhidmatan feri tersebut selepas pengumuman penamatan perkhidmatan dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Namun pada hari ini, adalah begitu menyakit hati melihat pengangkutan feri yang sejarahnya mencecah 126 tahun ini telah dibiarkan dan telah separuh tenggelam di bawah pemerintahan Perikatan Nasional.

Saya menuntut supaya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk memberi penjelasan dan menjawab kepada insiden tersebut pada kadar segera. Titik sejarah dan warisan yang benar-benar mewakili Pulau Pinang ini tidak patut dibiarkan begitu sahaja dan Perikatan Nasional perlu menjawab dan bertanggungjawab ke atas tindakan yang memperlekehkan simbol ikonik kepada Pulau Pinang.