Skip to content

Menurut laporan media, Kamaluddin Abdullah, anak bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah dituduh “mencuri wang” oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, Kamaluddin telah menafikan tuduhan itu.

Namun, jika tuduhan Dr Mahathir itu betul, ia adalah kes jenayah serius yang boleh membawa kepada hukuman penjara. Tetapi kalau tidak berasas dan palsu, ia adalah satu fitnah besar.

Dalam situasi ini, Kamaluddin sepatutnya mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Dr Mahathir. Kalau dibiarkan, mungkin ada orang percaya tuduhan ini sebagai fakta. Lebih buruk lagi, tuduhan ini boleh mencemarkan nama baik keluarga Abdullah Ahmad Badawi yang dihormati ramai.

Cadangan saman ini bukan sekadar menjaga maruah keluarga semata-mata tetapi demi menghentikan pembohongan dan penyebaran fitnah daripada orang yang mungkin berniat jahat.

Fitnah tidak boleh dibiarkan berleluasa. Fitnah boleh menghancurkan bangsa dan negara. Berani kerana benar.