Saya menyambut baik dan berterima kasih atas pengumuman Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Nik Nazmi bin Nik Ahmad, bahawa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dipinda untuk meningkatkan denda bagi pencemaran sumber air sebanyak 100 kali ganda. Cadangan kenaikan denda adalah daripada RM1juta kepada RM10juta manakala cadangan kenaikan hukuman penjara adalah daripada setahun kepada 15 tahun.
Pada masa yang sama, saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor memohon agar selain pindaan ini, percanggahan undang-undang berkaitan pencemaran air akan diberikan perhatian. Kini, khasnya bagi Kerajaan Negeri Selangor, kesalahan pencemaran air melibatkan 5 undang-undang iaitu:-
- Akta Industri Perkhidmatan Air 2006;
- Akta Kerajaan Tempatan 1967;
- Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974;
- Kanun Keseksaan; dan
- Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999.
Keperluan menyemak semula dan menyelaras kesemua undang-undang ini adalah untuk mengelakkan percanggahan bidangkuasa agensi terutamanya dari segi siasatan yang kini sedang berlaku di lapangan. Selain itu, penyelarasan ini diperlukan untuk bagi memberi kejelasan kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan undang-undang yang wajar digunakan.
Jika kami ingin undang-undang yang berkesan, pelaksanaan dan penguatkuasaannya perlu mengelakkan keraguan. Saya dengan rendah diri mencadangkan agar hanya satu akta sahaja yang merangkumi kesalahan pencemaran sumber air. Undang-undang yang serupa dalam akta yang lain wajar dimansuhkan.
Selain itu, siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor berkenaan isu pencemaran air mendapati bahawa denda maksima yang dijatuhkan oleh Mahkamah bagi kesalahan pencemaran air adalah hanya RM75,000. Dengan segala hormatnya, denda ini adalah terlalu rendah memandangkan kesalahan tersebut membawa kesan kepada berjuta-juta orang terutamanya apabila loji rawatan air perlu dihentitugas. Oleh itu, selain menaikkan denda dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, kami mencadangkan agar denda minima juga perlu dinyatakan.
Bagi menangani isu pencemaran, penambahbaikan dari segi sumber manusia agensi, jentera dan infrastruktur air juga diperlukan. Namun, pengumuman pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 adalah langkah pertama yang baik, dan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan ini mengambil serius isu tersebut.