Skip to content

Menyarankan kerajaan mengangkat 28 Julai ini sebagai salah satu hari yang bersejarah buat Malaysia

Tarikh 28 Julai 2022 merupakan sebuah tarikh yang sangat penting bermakna. Dengan undian sebulat suara 209 orang ahli sidang dewan rakyat pada hari Khamis, maka luluslah Akta Anti Lompat Parti yang dinanti-nantikan selama ini. Kini, Malaysia sudah bersedia mengorak langkah menjadi sebuah negara stabil, maju dan berdemokrasi.

Saya menyarankan kerajaan mengangkat 28 Julai ini sebagai salah satu hari yang bersejarah buat Malaysia. Sekiranya mungkin, tarikh ini dinamakan sebagai “Hari Anti Lompat Parti” dan boleh disambut setiap tahun bagi memperingati kemenangan yang diperoleh rakyat.

Antara sebab lain mengapa tarikh ini adalah tarikh yang penting ialah kerana dengan kelulusan Akta Anti Lompat Parti ini, hak rakyat sebagai pengundi kini dihormati dan dijamin, terutamanya kepada mereka yang telah pun membuang undi mereka untuk calon-calon yang mereka percaya dan sokong pada PRU-14 yang lepas. Pengundi tidak boleh lagi dikhianati mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada calon-calon yang memenang pilihanraya kelak.

Dengan Akta Anti Lompat Parti ini, wakil rakyat yang mengutamakan kuasa dan harta kini boleh ditolak dan wakil rakyat yang benar-benar mengutamakan rakyat dan negara boleh dipilih lagi. Pengundi juga dapat memahami prinisip, misi dan visi sesebuah parti politik dan boleh membezakan parti yang berjuang demi rakyat dari parti yang hanya gilakan kuasa, tidak berpendirian, tanpa prinsip, meraih harta dan jawatan, serta menunggang agama.