Terdapat keperluan mendesak bagi kerajaan untuk segera menyelesaikan masalah kekurangan buruh yang teruk yang telah melumpuhkan pengeluaran dan menyebabkan perniagaan menolak tempahan baharu bagi membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi. Ekonomi yang berkembang lebih kukuh akan membantu mengawal kejatuhan ringgit yang menyusut ke paras paling rendah berbanding Dolar Singapura pada RM3.22 hari ini dan terendah dalam 5 tahun berbanding Dolar AS pada RM4.46.
Ringgit yang lemah berbanding dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara adalah petanda kurangnya keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara kita. Kesan terdekat ialah inflasi yang diimport, meningkatkan lagi kos dan harga kepada perniagaan dan pengguna.
Pada masa ini terdapat ruang fiskal yang terhad kepada kerajaan untuk mengatasi inflasi dan nilai mata wang yang tenat ini. Oleh itu, kerajaan harus menggunakan ruang dasarnya untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang sangat diperlukan dengan menyelesaikan masalah kekurangan buruh yang teruk dengan kuasa yang ada.
Bolehkah Saravanan Beritahu Kita Bila Pekerja Indonesia Dapat Masuk Ke Malaysia?
Persatuan Pengilang Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) adalah yang terbaru menyatakan bahawa kekurangan tenaga buruh sejak dua tahun lepas menyebabkan pengeluar alat ganti automotif menanggung kerugian sebanyak RM2 bilion dalam bentuk eksport setiap tahun. MACPMA berkata beberapa hari lalu bahawa masalah kekurangan buruh yang teruk menjejaskan pemulihan ekonomi industri alat ganti kenderaan yang menyumbang 2% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, menyebabkan pengeluaran terhenti dan berkurang kerana pengilang tidak dapat mengeluarkan produk pada kapasiti yang lebih tinggi.
Kerugian RM2 bilion oleh industri alat ganti kenderaan bermotor ini adalah tambahan kepada kerugian RM 31.5 bilion oleh sektor kelapa sawit dan industri sarung tangan getah yang sepatutnya boleh diatasi menggunakan kuasa yang dimiliki kerajaan dengan memotong birokrasi yang tidak perlu. Sebaliknya, sektor kelapa sawit dan industri sarung tangan getah menjangkakan kerugian sekurang-kurangnya RM21 bilion. Sektor kelapa sawit Malaysia sebelum ini telah kerugian kira-kira RM10.5 bilion buah yang tidak dipetik dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini disebabkan oleh kekurangan buruh yang berterusan.
Jumlah RM31.5 bilion kerugian daripada kekurangan buruh, dianggarkan 1.2 juta orang pekerja, tidak termasuk kerugian dalam industri bukan kelapa sawit atau sarung tangan getah, seperti pembuatan, peruncitan dan hospitaliti, sektor pelancongan dan perkhidmatan, di mana jumlah kerugian yang dikumpulkan akan mencecah puluhan bilion ringgit. Kemusnahan kekayaan sebegini boleh dielakkan sekiranya Menteri Kabinet lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono telah mengumumkan pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia ke Malaysia, mengecam Malaysia sebagai memalukan “kerana mungkir janji dalam memorandum persefahaman (MoU)” yang ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia S. Saravanan berkenaan pembantu rumah Indonesia hanya tiga sebulan yang lalu. Walaupun Saravanan telah mengumumkan bahawa semua masalah telah diselesaikan dengan Indonesia, masih tiada pengesahan daripada Hermono.
Jelas Saravanan telah gagal bukan sahaja dalam melaksanakan tugasnya sebagai Menteri kepada rakyat Malaysia, beliau juga telah mencemarkan nama baik Malaysia sehingga beliau tidak berani membidas Indonesia kerana mengecam Malaysia sebagai memalukan. Dengan defisit kepercayaan yang begitu teruk antara kedua-dua negara, bolehkah Saravanan memberitahu rakyat Malaysia bila pekerja Indonesia dapat masuk ke Malaysia?