Skip to content

Menyemai benci demi undi pada pilihan raya negeri adalah isyarat mereka terdesak

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa bahawa isu kalimah ‘Allah’ adalah bukti bahawa kerajaan dikuasai kaum bukan-Melayu. Dakwaan yang begitu terdesak ini menempeleng wajah setiap anak Bangsa Malaysia yang percaya kepada perpaduan, integriti dan kejujuran. Tindakan menunggang agama sebegini, demi memecahbelahkan rakyat Malaysia bagi mendapat manfaat politik bukan sahaja tidak beretika, malah merupakan pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip yang menyatukan negara.

Penyalahgunaan kaum dan agama dalam kempen politik adalah satu jalan merbahaya yang mengancam fabrik masyarakat majmuk seperti Malaysia. Pagi ini, saya telah membuat suatu laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin, sebagai suatu amaran terhadap akibat taktik sedemikian. Kita perlu sama-sama menginsafi nilai-nilai dan prinsip yang memandu wacana politik di negara ini. Pemimpin politik haruslah komited kepada standard integriti serta kejujuran yang lebih tinggi, memberi tumpuan kepada isu-isu yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat, daripada mengeksploitasi sentimen kaum dan agama untuk manfaat politik singkat.

Politik menakut-nakutkan dan menunggang agama adalah seperti racun yang meresap ke hati dan minda masyarakat, menukar jiran menjadi musuh. Apabila ahli politik menggunakan taktik sedemikian, mereka mengoyakkan fabrik masyarakat dan menyemai perpecahan yang akan memakan masa untuk diubati. Amaran Ketua Polis Negara supaya tidak menyentuh isu-isu 3R (race, religion, royalty) ketika pilihan raya negeri, adalah sangat jelas! Namun masih ada yang mengabaikannya, dan bermain dengan api demi politik!

Jelas sekali munafiknya mereka ini! Hanya pada 22 Jun 2023, Perikatan Nasional membuat kenyataan, malah sebuah janji; untuk tidak menggunakan kaum dan agama pada pilihan raya negeri, yang hari ini jelas tidak membawa erti. Lidah berbelit sebegini menunjukkan parti tersebut dipenuhi dusta dan penipuan semata-mata. Malaysia tidak wajar lagi memberi perhatian kepada mereka ini. Bagaimana kita boleh percaya kepada pemimpin yang cakap tidak serupa bikin?

Cukup-cukup lah! Sudah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit dan menuntut kebertanggungjawaban. Kita mesti menolak politik pecah belah penuh kebencian. Kita mesti menuntut para pemimpin untuk mempunyai standard yang lebih tinggi, dengan ketelusan, integriti dan rasa hormat kepada kemajmukan yang menjadi asas negara ini. Kita tidak boleh membiarkan politik perkauman dan agama menghancurkan nilai dan aspirasi kita bersama.

Malaysia adalah sebuah negara yang terbina atas prinsip-prinsip perpaduan, keharmonian dan rasa saling hormat. Kita mesti sedar akan bahaya bermain sentimen kaum dan agama. Marilah kita menyalurkan rasa marah kita kepada tindakan positif, bekerjasama untuk membina sebuah negara Malaysia yang teguh bersatu, bebas daripada belenggu ekstremisme dan tipu daya. Janganlah kita lupa bahawa punca kekuatan kita adalah pada kepelbagaian yang kita ada, dan jangan sesiapa cuba memecahbelahkan kita!