Saya kesal dengan jawapan Dr. A. Xavier Jayakumar dari Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli kepada persoalan Wong Tack, Menteri Parlimen Bentong tentang pembahayaan kesihatan akibat perlombongan emas menggunakan bahan kimia sianida (Cyanide).
Dr. Xavier mengatakan bahawa tiada bukti yang menunjukkan aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman telah membahayakan penduduk dan persekitaran di kawasan tersebut. Beliau bertambah, menurut fakta yang sedia ada, penggunaan bahan kimia sianida dalam aktiviti perlombongan emas tidak menjejaskan kualiti udara dan kesihatan penduduk di sekelilingnya. Beliau turut berkata, kes Bukit Koman diuar-uarkan disebabkan penduduk berpindah ke kawasan perlombongan yang telah wujud sejak awal lagi.
Saya menentang sekeras-kerasnya kenyataan Dr. Xavier dan berpendapat bahawa kenyataan tersebut bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan (atau dikenali sebagai Pakatan Rakyat sebelum ini) mengenai penggunaan sianida dalam aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman.
Sesungguhnya, terdapat banyak maklumat yang telah menunjukkan bahawa penggunaan bahan kimia sianida dalam perlombongan emas di Bukit Koman telah menggugat keselamatan penduduk dan persekitarannya. Lebih teruk lagi, tiada sebarang buffer zone di antara kilang perlombongan dan kawasan perumahan penduduk, kecuali satu jalan raya.
Laporan penilaian persekitaran daripada syarikat perlombongan emas telah menunjukkan bahawa lumpur yang mengandungi sianida dan sisa toksik lain akan ditempatkan di dalam lubang, tetapi tidak ternyata langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan hakisan tanah akibat air hujan sehingga mencemari sumber air pada permukaan dan bawah tanah. Malah, hingga saat terakhir pun syarikat perlombongan tersebut masih tidak dapat memberikan cara penyelesaian terhadap lumpur toksik tersebut.
Sekiranya projek perlombongan emas ini tidak membahayakan kesihatan penduduk, apabila operasi perlombongan bermula pada Februari 2009, mengapakah wujudnya bau yang kurang menyenangkan dan 300 orang melaporkan ketidakselesaan hanya dalam masa sebulan? Pengalaman penduduk sudah tentunya lebih menyakinkan berbanding dengan data “saintifik” rasmi kerajaan.
Jabatan Alam Sekitar menempatkan alat pengesan di kawasan Buki Koman pada Januari 2013. Data yang dikutip pada 12hb dan 20hb Januari telah menunjukkan indeks kepekatan di udara adalah setinggi 0.5-0.8ppm, dan indeks maksimum setinggi 1.11ppm. Indeks pencemaran ini lebih tinggi daripada piawaian negara lain, misalnya piawaian di New York adalah 0.03ppm, Russia 0.009ppm dan Czech 0.007ppm. Ini bermaksud penduduk di kawasan Bukit Koman terdedah dengan udara yang penuh dengan sianida setiap hari.
Isu Bukit Koman pula tidak diuar-uarkan selepas penduduk berpindah ke kawasan lombong emas. Kampung Bukit Koman telah ditubuhkan pada tahun 1903 dan merupakan kampung tertua di Raub. Meskipun Bukit Koman memang termasyhur dengan lombong emas, namun tidak pernah ada satu syarikat pun yang melombong emas dengan menggunakan sianida di sana.
Isu ini tercetus hanya apabila penggunaan bahan kimia sianida semasa aktiviti perlombongan emas oleh Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM). Penduduk kawasan tersebut mula membantah kerana sianida merupakan bahan kimia beracun dan syarikat tersebut tidak mematuhi peraturan serta standard keselamatan yang telah ditetapkan.
Ban Cyanide Action Committee (BCAC) dan penduduk telah mempertahankan tempat tinggal mereka selama lebih daripada sepuluh tahun, termasuk memfailkan kes ke mahkamah dan mengadakan perhimpunan. Mereka memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum. Akan tetapi, apabila RAGM akhirnya berhenti beroperasi, rakan seperjuangan mereka yang kini telah membentuk kerajaan baharu pula menafikan usaha mereka selama ini. Ini tentu menyakitkan hati Jawatankuasa dan penduduk di sana.
Saya memohon Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang diketuai Dr. Xavier akan menyiasat semula kes perlombongan emas di Bukit Koman, serta bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar supaya menilai semula pangkalan data bekas kerajaan tentang isu ini. Sekiranya terdapat maklumat yang telah disembunyikan atau tidak sahih, ia harus diperbetulkan serta merta demi keadilan penduduk di Bukit Koman. Kerajaan juga perlu menghantar pegawai untuk menyiasat sekitar kawasan kilang RAGM. Sekiranya masih terjumpa tinggalan sisa toksik selepas kilang berhenti beroperasi, aktiviti pembersihan perlu dilakukan segara dan tindakan keras perlu dikenakan kepada RAGMSB supaya kesihatan dan keselamatan penduduk Bukit Koman dan Raub kekal terjamin.