Skip to content

Menyeru kepada Kerajaan Negeri menangguh operasi penguatkuasaan di Cameron Highlands sehingga selepas Tahun Baru Cina

Pada 18 Disember 2019, kira-kira 100 orang anggota telah dihantar oleh pihak kerajaan Negeri Pahang ke Kawasan Bertam Valley, Cameron Highlands bagi menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap sebuah kebun sayur. Susulan daripada operasi tersebut, khabar angin juga tersebar luas di seluruh kawasan Cameron Highlands bahawa siri operasi penguatkuasaan akan dijalankan selama beberapa bulan terhadap banyak kebun sayur dan membimbangkan para pekebun di Cameron Highlands.

Saya berharap pihak kerajaan negeri agar menangguhkan operasi penguatkuasaan di Kawasan Cameron Highlands selepas Tahun Baru Cina.

Walaupun Kerajaan Negeri mungkin mempunyai alasan yang kukuh untuk menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap sesetengah kebun sayur, saya berharap Kerajaan Negeri agar memberi sedikit kelonggaran masa kepada para pekebun yang terlibat agar mereka mampu menuai hasil.

Hal ini demikian kerana pekebun yang tidak sedar bahawa bila operasi penguatkuasaan akan bermula telah melaburkan wang dan masa serta menaruh harapan terhadap hasil pertanian mereka. Kelonggaran yang diberi sekurang-kurangnya memberi peluang terakhir kepada para pekebun untuk mengurangkan kerugian.

Dengan adanya kelonggaran masa, para pekebun juga berpeluang untuk mengambil segala tindakan berdasarkan arahan kerajaan negeri agar menambah baik persekitaran dan fasiliti kebun sayur yang diusahakan. Cadangan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjaga kelestarian alam sekitar di samping menjaga kesejahteraan rakyat Pahang.

Menjelang Tahun Baru dan Perayaan Tahun Baru Cina, para pekebun berhasrat untuk menuai dan menjual hasil pertanian agar memperoleh pendapatan yang mencukupi bagi menampung kos hidup, terutamanya semasa perayaan tradisional di mana ahli-ahli keluarga akan berkumpul dan meraikan bersama-sama.

Kerajaan negeri seharusnya memberi kelonggaran kepada para pekebun yang terlibat dengan sekurang-kurangnya menangguhkan operasi penguatkuasaan sehingga berakhirnya Perayaan Tahun Baru Cina bagi menunjukkan sifat prihati.

Keputusan pihak Kerajaan Negeri bagi menangguhkan operasi penguatkuasaan akan memaparkan imej Kerajaan Negeri sebagai sebuah kerajaan yang berperikemanusiaan dan berprihatin terhadap semua pekebun yang bekerja keras untuk bercucuk tanam bagi menampung kehidupan dan meyumbang kepada keselamatan bekalan makanan negara.