Skip to content

Menyeru kerajaan memberi penekanan kepada pemeliharaan dan pengawalan kawasan tadahan air bagi memastikan keselamatan sumber air

Saya menyeru kerajaan memberi penekanan kepada pemeliharaan dan pengawalan kawasan tadahan air di empangan-empangan yang menjadi sumber bekalan air bagi memastikan keselamatan sumber air.

Dua hari yang lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Ir Dr Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa Empangan Bekok akan ditempat dan dikawal oleh tentera sebaik sahaja diwartakan.

Kenyataan Wee sebenarnya amat mengelirukan. Beliau tidak menjelaskan kepada awam apa maksud diwartakan itu. Sama ada kawasan Bekok diwartakan sebagai empangan untuk bekalan air? Atau pun kawasan tadahan air di sekitar empangan itu akan diwartakan sebagai kawasan tadahan air? Kedua-dua jenis pewartaan membawa maksud yang berlainan, pihak kerajaan haruslah memberikan penjelasan kepada orang awam supaya kita mendapat suatu gambaran yang jelas berkenaan status Empangan Bekok.

Soalan lanjutan yang akan timbul ialah penempatan tentera itu untuk mengawal kawsan empangan sahaja ataupun untuk mengawal keseluruhan kawasan tadahan air? Kedua-dua tugasan ini melibatkan keluasan yang berlainan.

Saya mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk menempatkan tentera untuk mengawal keselamatan kawasan tadahan air. Bagaiamana pun, saya ingin mengingatkan pihak kerajaan supaya jangan mengambil jalan pintas dalam usaha memastikan keselamatan sumber air dan pada masa yang sama empangan-empangan yang lain juga perlu diberikan perhatian yang sama rata. Sekiranya pihak kerajaan serius dengan isu keselamatan sumber air, macam mana pula dengan empangan-empangan di Johor yang lain? Terutamanya Empangan Sembrong dan Empangan Machap yang menjadi sumber air utama bagi penduduk-penduduk di sekitar daerah Kluang.

Meletakkan anggota tentera untuk mengawal kawasan empangan atau tadahan air merupakan suatu langkah yang baik untuk menjaga keselamatan kawasan empangan tetapi bukan penyelesaian yang baik untuk masalah yang kita hadapi sekarang. Pengawalan oleh tentera mungkin berkesan untuk mengelakkan pencerobohan ke kawasan empangan tetapi tidak meneyelesaikan masalah aktiviti pertanian yang dijalankan di dalam kawasan tadahan yang menjadi punca utama pencemaran sumber air.

Beberapa persoalan yang masih belum terjawab oleh pihak kerajaan berkenaan isu keselamatan sumber air terutamanya di beberapa empangan yang juga dijadikan sumber air di negeri Johor :

Terdapat aktiviti pertanian yang dijalankan di kawasan tadahan malahan di tepi empangan yang mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Apakah tindakan yang telah dan akan diambil oleh pihak kerajaan untuk memastikan aktiviti pertanian ini tidak akan mengancam keselamtan sumber air?

Aktiviti pertanian secara haram juga dijalankan secara berleluasa di sekitar kawasan tadahan. Kerajaan masih belum mengambil langkah yang berkesan dalam menyelesaikan masalah sebegini. Kami masih dimaklumkan bahawa aktiviti pertanian haram semakin berleluasa di kawasan terbabit. Kerajaan harus bertegas dalam isu ini dan menumbuhkan tumbuhan semulajadi yang dapat meningkatkan tahap tadahan air.

Pihak kerajaan harus memberikan keutamaan dalam pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan tadahan air. Pada masa yang sama, kerajaan harus mewajibkan pihak industri pembekal air seperti SAJ Holdings Sdn Bhd menyumbang sebahagian daripada keuntungan mereka kepada kerajaan Negeri untuk digunakan dalam usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber air. Ini disebabkan isu keselamatan dan kebersihan sumber air menyumbang secara langsung ke atas keuntungan yang diperoleh oleh oleh syarikat-syarikat pembekal air ini.