Skip to content

Menyeru Kerajaan Negeri memastikan tiada catuan air selepas cuti Raya

Berikutan penurunan paras air di empangan-empangan air di dalam negeri, saya mendesak Kerajaan Negeri agar langkah-langkah persediaan di diambil dengan serta merta untuk menjamin tidak ada catuan air buat kali kedua di dalam negeri. Paras air di Empangan Sungai Selangor kini berada di paras 33.46% berbanding dengan 37% semasa catuan air kali pertama diadakan pada bulan February dan Mac lalu. Keadaan ini amat membimbangkan kerana Empangan Sungai Selangor merupakan pembekal air mentah kepada 60% pengguna di Lembah Kelang dan Selangor. Kerajaan Negeri pernah menjamin bahawa tiada catuan air akan berlaku sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini tetapi saya khuatir bahawa bekalan air mencukupi selepas musim perayaan. Ini adalah disebabkan penggunaan air pada musim cuti ini akan menurun kerana kebanyakan pengguna balik kampong pada cuti panjang ini. Kerisauan hanya akan timbul setelah mereka balik dari kampong.

Ini merupakan satu krisis yang berpunca dari fenomena El Nino yang menimpa dan memang tiada sesiapa yang boleh disalahkan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Selangor sebagai Kerajaan Berjiwa Rakyat harus membuat persiapan rapi bagi mengelakkan catuan air yang akan menjejaskan aktiviti harian pengguna.

Kerajaan Negeri harus menubuhkan satu jawatankuasa khas yang melibatkan Wakil Rakyat terpilih, ketua-ketua jabatan dan Ahli Exco bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil selain daripada mengepamkan air lombong ke dalam sungai. Jawatankuasa ini boleh melancarkan kempen penjimatan penggunaan air peringkat negeri seperti yang telah dilancarkan di kawasan DUN Balakong. Penguatkuasaan yang ketat juga seharusnya dilakukan ke atas pusat cuci kereta tanpa kelulusan PBT.

Selain daripada itu, walaupun paras air di Empangan Langat berada di paras yang agar selamat iaitu 63.26%, catuan air di kawasan Balakong pada Februari dan Mac lalu adalah berpunca daripada paras amonia melebihi paras yang dibenarkan iaitu 3ppm di ‘intake point’ sebelum Loji Rawatan Air Batu 11 Cheras. Saya berterima kasih kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor kerana berjaya memantau keadaan pencemaran di Sungai Langat selama ini tetapi saya bimbang perkara ini akan berulang. Saya mendesak Kerajaan Negeri supaya berbincang dengan pihak pengusaha loji rawatan iaitu Punca Niaga supaya menaiktarafkan penapis air di loji tersebut dengan kosnya ditanggung oleh Kerajaan Negeri selain daripada perancangan yang lain. Walaubagaimanapun, sekiranya pihak kerajaan tiada sebarang perancangan yang rapi, maka catuan air harus dilaksanakan dengan serta merta bagi mengelakkan rakyat menderita akibat gangguan bekalan air.