Skip to content

Menyeru Kerajaan Pusat agar membatalkan arahan ini dan memperkasakan NGO untuk terus menyalurkan makanan, bantuan dan kebajikan melalui kaedah yang selamat dan bertanggungjawab, sejajar dengan garis panduan kesihatan dan keselamatan Kementerian Kesihatan

Saya ingin menyatakan kebimbangan saya berkenaan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan menyumbang barangan keperluan atau makanan secara terus kepada golongan yang memerlukan. Sebaliknya NGO perlu menghantar sumbangan tersebut ke pusat pengumpulan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah di seluruh negara. Pengedaran makanan seterusnya akan dilaksanakan oleh RELA dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Saya akur bahawa sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan adalah untuk mengurangkan kadar jangkitan virus Covid-19. Namun, saya khuatir arahan menyekat NGO ini tidak berkesan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat, malah akan memudaratkan golongan yang memerlukan dan terpinggir. Mereka termasuklah warga emas, pesakit terlantar, orang kelainan upaya (OKU), keluarga B40, gelandangan, pelarian dan lain-lain.

Saya juga risau Kerajaan Pusat mungkin tidak mempunyai senarai lengkap komuniti terpinggir yang memerlukan bantuan segera, selain tidak dapat menyalur semula bantuan tersebut dengan serta-merta.

Golongan NGO tidak berniat untuk menggantikan, apatah lagi bersikap “lebih sudu dari kuah” terhadap usaha kerajaan. Kerajaan Pusat seharusnya menghargai titik peluh NGO dalam mendekati dan membantu komuniti terpinggir. Dalam situasi terdesak ini, Kerajaan patut mengamalkan strategi desentralisasi demi memastikan pelaksanaan gerak kerja yang pantas. Gerak kerja yang pantas adalah penting terutamanya dalam aspek edaran makanan, di mana makanan mudah basi atau tercemar sekiranya tidak ditangani dengan cermat.

Saya menyeru Kerajaan Pusat agar membatalkan arahan ini dan memperkasakan NGO untuk terus menyalurkan makanan, bantuan dan kebajikan melalui kaedah yang selamat dan bertanggungjawab, sejajar dengan garis panduan kesihatan dan keselamatan Kementerian Kesihatan.