Skip to content

Menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengisytihar ‘perang’ ke atas pusat-pusat judi haram

Sejak Jumaat lalu, satu rakaman litar tertutup (CCTV) tersebar di media sosial berhubung kejadian samun dan rogol berlaku di sebuah pusat judi haram di Puchong. Daripada rakaman tersebut, kita dapat melihat bahawa pusat judi tersebut dilengkapi begitu banyak mesin judi. Maknanya pusat judi tersebut pastilah mempunyai ramai pelanggan, dan perniagaannya benar-benar maju.

Pada Oktober tahun 2014, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan tegas mengarahkan Ketua Polis Daerah (KPD) dan Ketua Polis Balai (KPB) membersihkan premis mesin judi haram dalam tempoh seminggu dan sekiranya gagal mereka akan berhadapan dengan tindakan tegas termasuk ditukarkan atau dipecat serta-merta dalam 24 jam.

Pada tahun yang sama, PDRM mengumumkan setiap KPD dan KPB di seluruh negara akan ‘diintip’ bagi memastikan kegiatan mesin perjudian dapat dibanteras habis-habisan di peringkat negeri dan daerah (http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ketua-polis-daerah-kpb-bakal-8216-diintip-8217-1.20974#ixzz4h6s2AnjE).

Dua tahun setengah telah berlalu sejak Khalid membuat pengumuman tersebut. Namun pusat judi haram makin menjadi-jadi. Di Lembah Kelang, terutamanya di Kuala Lumpur, gejala sosial ini terdapat di mana-mana kawasan komersial dengan kehadiran pekerja asing.

Tidak salah jika saya katakan bahawa ketagihan judi dan dadah adalah punca utama semua gejala sosial. Kaki judi yang sarat menanggung hutang akan bertindak menipu dan merompak, malah sehingga mangsa mereka terbunuh atau cedera.

Lebih buruk lagi, saya percaya ramai kaki judi ini adalah pekerja asing, yang ramai daripadanya tidak mempunyai dokumentasi. Mungkin pihak berkuasa harus meminta bantuan bomoh untuk mencari warga asing tanpa dokumentasi ini yang menjalankan kerja jenayah apabila kerugian hasil pencarian di meja judi.

Dua saspek yang telah merompak dan merogol di pusat judi haram di Puchong minggu lalu mungkin telah menanggung kerugian di pusat judi yang sama.

Khalid mesti menjelaskan kenapa Ketua Polis Daerah Serdang yang bertanggungjawab bagi kawasan jenayah terbabit belum dipecat dalam masa 24 jam.

Saya menuntut Khalid untuk mengisytihar ‘perang’ ke atas pusat-pusat judi haram ini sekali lagi. Dan kali ini jika beliau gagal, beliau lah yang harus meletakkan jawatan.