Skip to content

Menyeru Ketua Polis Negara untuk bertindak tegas terhadap penganjur demonstrasi ganas di Ibu Pejabat DAP dan individu-individu yang melakukan provokasi dan ugutan dalam demonstrasi tersebut

DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan demonstrasi ganas dan berunsur ugutan yang dilakukan oleh ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP semalam. Demonstrasi tersebut yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii bukan sahaja berunsur ugutan tetapi menggunakan pendekatan melampau dengan membaling “wang neraka” ke arah wakil DAP (kakitangan Ibu Pejabat DAP, Chu Yoon Ming) yang menerima memorandum daripada mereka.

Tindakan membaling “wang neraka” bukan sahaja merupakan satu tindakan yang tidak menghormati adat resam masyarakat Cina, malah merupakan satu tindakan “intimidasi jenayah” kerana ia membawa maksud ugutan untuk membunuh seseorang.

Oleh kerana ugutan tersebut mengancam keselamatan pemimpin-pemimpin DAP dan kakitangan di Ibu Pejabat DAP, maka satu laporan polis akan dibuat pada hari ini supaya pihak polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu-individu yang terlibat dalam tindakan ugutan tersebut.

Pihak DAP menghargai peranan anggota-anggota polis yang mengawal keadaan dan keselamatan di Ibu Pejabat kami semalam, namun pihak atasan polis khususnya Ketua Polis Negara perlu mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap individu-individu yang bertanggungjawab dalam demonstrasi ganas tersebut yang cuba merempuh kawalan pihak polis.

Ini bukan kali pertama demonstrasi ganas dilakukan oleh Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat DAP. Pada tahun 2014, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan juga bertindak ganas dan mengugut untuk membakar bangunan Ibu Pejabat DAP. Walaupun enam orang termasuk Mohd Razlan ditahan oleh pihak polis untuk siasatan pada ketika itu, namun tidak ada sebarang tindakan pendakwaan yang diambil terhadap mereka sehingga kini.

Kegagalan pihak polis untuk mendakwa mereka dalam kes ugutan membakar Ibu Pejabat DAP telah menyebabkan mereka semakin berani untuk bertindak di luar batasan undang-undang. Kami mendesak pihak polis memberikan penjelasan status kes tersebut secepat mungkin.

Tambahan pula, demonstrasi yang dilakukan oleh pihak yang berkaitan dengan UMNO seolah-olah ada kekebalan dari segi undang-undang. Amat jelas bahawa demonstrasi semalam tidak memenuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman tetapi adakah tindakan pendakwaan akan diambil terhadap penganjur demonstrasi tersebut?

Ramai pemimpin Pakatan Harapan termasuk saya sendiri telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman walaupun semua demonstrasi yang dianjur atau disertai oleh kami adalah demonstrasi aman dan langsung tidak ada sebarang unsur ugutan.

“Kekebalan” pihak UMNO dalam perkara ini hanya akan memperkuatkan persepsi umum bahawa terdapat “double standard” dalam penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan terpilih di negara kita.

Justeru itu, kami menyeru Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang selalu bertindak cepat melalui Twitter, untuk mengarahkan siasatan segera dan tindakan secara tegas diambil terhadap penganjur demonstrasi ganas semalam dan individu-individu yang melakukan provokasi dan ugutan dalam demonstrasi tersebut dan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah secepat mungkin.