Skip to content

Menyeru Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad untuk mendedahkan siapa yang telah menandatangani PA kepada Synergy Promenade, serta nama-nama pengarah yang memberi kelulusan

Tahun 2017 menutup tirai di Malaysia dengan persembahan penipuan melibatkan tanah persekutuan. Tanah yang nilai semasa sekarang RM1 bilion milik Felda di pusat bandaraya Kuala Lumpur telah ‘dijual’ kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd, sebuah syarikat pemaju yang entah dari mana datangnya, tanpa sebarang bayaran.

Hakmilik tanah terbabit dipindahkan dengan dokumentasi yang lengkap. Ertinya, mustahil bagi Felda untuk mendapatkan semula tanah tersebut kecualilah kalau Synergy Promenade mengembalikan tanah itu dengan rela hati.

Kelmarin, pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad pula telah menambah jenaka kepada penipuan hartanah terbesar tahun ini. Beliau secara berseloroh sebenarnya memberitahu bahawa Felda sedang mengambil langkah-langkah untuk membatal surat kuasa wakil penuh (PA) yang telah diberikan kepada Synergy Promenade tiga tahun lalu, berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara.

Jenaka yang tidak dikongsi secara jelas oleh Shahrir ialah hakikat bahawa PA itu tidak boleh dibatal kerana ia sudah pun disahkan oleh pejabat tanah dan didaftarkan di Mahkamah Tinggi Malaya. Apa yang dicadangkan oleh Shahrir dan Jabatan Peguam Negara adalah seperti meminta tikus memulangkan keju, selepas tiga tahun!

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh Shahrir sebagai pengerusi Felda ialah mendedahkan siapa yang telah menandatangani PA itu kepada Synergy Promenade, bersekali dengan nama-nama pengarah yang memberi kelulusan.

Sekiranya ada mana-mana pengarah itu yang masih bersama Felda, Shahrir mesti meminta mereka meletakkan jawatan dengan segera.