Saya menyeru kepada seluruh warga Johor yang telah mendaftar dengan SPR sebagai pemilih pada bulan Julai hingga September yang lalu supaya membuat semakan Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ketiga tahun 2017 (3/2017) di pusat-pusat pameran yang berdekatan bagi memastikan mereka telah berjaya mendaftarkan diri sebagai pemilih.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 3/2017 selama 14 hari bermula hari ini, 24 Oktober hingga 6 November di 960 tempat pameran di seluruh negara. Terdapat 94 pusat pameran di seluruh negeri Johor seperti yang disenaraikan di bawah.
Dalam suku tahun yang lepas, terdapat sebanyak 292,002 pendaftaran telah dibuat antaranya, 229,919 pendaftaran pemilih baru dan 65,083 pendaftaran tukar alamat.
Oleh kerana pihak SPR tidak lagi membekalkan salinan digital kepada pihak kami maka pemeriksaan manual perlu dibuat dan seboleh-bolehnya dibuat seberapa awal yang mungkin supaya pembetulan sempat dibuat dalam tempoh pameran.
Sekiranya seseorang warga Malaysia yang melebihi 21 tahun dan telah berdaftar dengan SPR dalam tempoh yang tersebut di atas ini mendapati nama beliau tidak disenaraikan atau tersilap lokaliti atau daerah mengundi dalam RDPT yang dipamerkan kali ini, beliau bolehlah membuat aduan dengan pihak SPR untuk membetulkan kesilapan dalam tempoh pameran ini.
Sesiapa yang mendapati pemilih-pemilih yang dicurigai didaftarkan di kawasan kediamannya, beliau boleh membuat bantahan ke atas pendaftaran tersebut.
Memandangkan kerja-kerja menyemak secara manual memerlukan tenaga kerja yang ramai saya berharap lebih ramai orang dapat melibatkan diri untuk membantu kami dalam membuat semakan ke atas RDPT kali ini.
Sesiapa yang menghadapi sebarang masalah berkenaan pendaftaran mereka khasnya mereka yang berdaftar dalam tempoh suku tahun ketiga ini boleh berhubung dengan kami sekiranya mereka memerlukan bantuan daripada kami. No perhubungan yang boleh dihubungi adalah 010-5351758 dan 010-5171758.