Gelombang kuning telah berjaya membanjiri Bandaraya Kuala Lumpur pada 29hb dan 30hb Ogos yang lalu. Ini jelas menunjukkan bahawa Rakyat Malaysia mampu berhimpun dengan aman sekiranya pihak berkuasa memberi kerjasama kepada penganjur. Selain daripada merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penyokong Bersih 4, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bertanggungjawab menjayakan perhimpunan ini.
Saya menganggap himpunan Bersih 4 merupakan satu kempen kesedaran untuk semua Anak Malaysia agar memahami krisis yang sedang dihadapi oleh negara kita di bawah pimpinan rejim kejam UMNO/BN. Sebagai langkah pengawalan krisis jangka masa pendek, kita menuntut supaya Perdana Menteri Najib Tun Razak meletak jawatan walaupun ia bukannya dapat menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi seperti penyusutan Ringgit, kemelesetan ekonomi dan kerosakan sistem institusi kerajaan kerana penukaran seorang perompak dengan seorang penyamun tidak akan memberi perubahan yang besar.
Justeru itu, saya menyeru kepada 300,000 orang peserta Bersih 4 dan mereka yang tidak sempat menyertainya supaya menjadi pelindung demokrasi di negara ini supaya pimpinan kejam dapat ditukarkan dengan cara yang demokrasi. Saya nampak kebanyakan peserta merupakan anak muda yang berkemungkinan besar belum berdaftar menjadi pengundi. Semua anak Malaysia harus memainkan peranan sebagai seorang pelindung demokrasi dengan memastikan semua orang di sekitar kita berdaftar sebagai seorang pengundi. Saya berharap mulai hari ini, kita bersama-sama mengingatkan mereka yang belum berdaftar supaya pergi mendaftarkan diri di pejabat pos, pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ataupun mana-mana kaunter bergerak SPR. Bagi NGO yang ingin membantu dalam kempen ini, saya cadangkan supaya mereka boleh menganjurkan kempen pendaftaran pengundi di merata tempat dengan bantuan SPR. Kita boleh menggerakkan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman ke bandar-bandar yang terdekat untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi dengan membekalkan pengangkutan. Ini adalah berikutan keputusan SPR tidak membenarkan pembaharuan dan lantikan baru Penolong Pendaftar Pemilih dari parti politik sejak selepas PRU 13.
Sehingga kini, jumlah pemilih yang berdaftar di negara ini adalah sebanyak 13,423,659 orang dan dijangka lebih kurang 2.6 juta orang anak Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas yang masih belum didaftarkan. Oleh itu, kita harus meneruskan semangat Bersih 4 yang memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil dengan pendaftaran pengundi baru agar lima tuntutan himpunan Bersih 4 boleh dicapai. Ini merupakan satu-satunya langkah penyelesaian krisis jangka masa panjang untuk selamatkan Malaysia.