Skip to content

Menyeru semua penduduk Pulau Pinang agar sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya sepanjang tempoh sambutan Syawal yang menjelang tiba ini

Perjuangan memerangi COVID-19 masih belum selesai. Ia merupakan perjuangan kita semua. Justeru, saya menyeru semua penduduk Pulau Pinang agar sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan terutamanya sepanjang tempoh sambutan Syawal yang menjelang tiba ini.

Individu-individu yang bergejala adalah diseru supaya mendapatkan rawatan atau menjalankan saringan pada kadar segera. Janganlah kita berlengah kerana terdapat beberapa kes yang lewat mendapatkan rawatan awal berakhir dengan keadaan teruk seperti sesak nafas dan seterusnya membabitkan kematian. Kita tidak inginkan perkara sedemikian berlaku kepada rakyat negeri ini. Laporan kes semakin meningkat dan kadar penggunaan fasiliti perubatan negeri kita sebagaimana dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam secara keseluruhannya telah melebihi 70 peratus bagi katil COVID-19 bukan unit rawatan rapi (ICU) dan ICU. Perinciannya, penggunaan katil COVID-19 bagi ICU di Pulau Pinang telah mencapai 100 peratus.

Secara dasarnya, kes COVID-19 di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan yang mana bagi minggu ke-18 (2 Mei 2021 hingga 8 Mei 2021), sejumlah 1,682 kes telah dilaporkan di negeri ini. Selain itu, beberapa kluster juga dilaporkan berpunca daripada penularan di tempat kerja, institusi pendidikan, aktiviti sosial dan ekonomi. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa jumlah kes aktif di negeri ini telah mencecah lebih daripada 1,000 kes yang mana ia memerlukan pemantauan serta pengurusan aktif daripada pihak hospital dan pejabat kesihatan daerah. Keadaan ini adalah membimbangkan, dan kita tidak mahu situasi sebagaimana di India berlaku di negara kita.

Berlandaskan itu, JKNPP akan meneruskan aktiviti penyiasatan, pengesanan kes dan kontak serta ujian saringan di semua fasiliti terlibat. Selaras itu, Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan sokongan penuh untuk membantu menyelaras pengurusan pandemik bersama-sama kepelbagaian agensi lain berkaitan.

Kerjasama daripada segenap lapisan masyarakat adalah elemen terpenting untuk menjayakan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit COVID-19 di Pulau Pinang. Bersama-sama kita patuhi amalan-amalan berikut:-

  1. Bagi urusan seharian, keluar hanya apabila perlu sahaja dan sentiasa mengamalkan SOP ditetapkan dengan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup hidung serta mulut;
  2. Senantiasa terapkan pematuhan SOP yang tinggi di tempat kerja bagi mengelakkan penularan aktif membabitkan tempat kerja;
  3. Sentiasa memantau status kesihatan diri dan mendapatkan nasihat serta rawatan sekiranya bergejala;
  4. Individu yang berada dalam pemantauan kuarantin di rumah perlu sentiasa patuh dan mengamalkan pengasingan kendiri sehingga tamat tempoh kuarantin bagi mengelakkan kemungkinan transmisi jangkitan;
  5. Senantiasa memberi sokongan kepada ahli keluarga, jiran atau sahabat yang berada dalam pemantuan di rumah walaupun tidak bertemu secara fizikal;
  6. Memastikan pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah dilaksanakan bagi meningkatkan ketahanan diri.

Penang Lawan COVID-19!