Penyuraian himpunan Bersih 5 telah di umumkan pada pukul 5.30 petang, 19hb November 2016. Ia telah menandakan suatu lagi kejayaan oleh rakyat Malaysia dan ia melangkah selangkah lagi ke arah kematangan demokrasi di negara kita. Walaupun pihak polis telah melakukan beberapa tangkapan terhadap pemimpin Bersih 5 dan aktivis untuk menakutkan para peserta, himpunan ini tetap mampu mengumpulkan melebihi 100,000 peserta dari pelbagai kaum. Walaupun menghadapi ancaman dari kumpulan Baju Merah sejak bermulanya jelajah konvoi Bersih 5 pada 1hb Oktober 2016 di seluruh negara, himpunan ini berlangsung secara aman, tanpa sebarang kekecohan.
Saya menyeru kepada semua yang menyertai himpunan ini dan juga mereka yang tidak dapat hadir supaya tidak berhenti jejak kamu berikutan penyuraian himpunan ini. Perjuangan kita tidak berhenti pada saat ini. Apa yang kita wajib lakukan selepas himpunan ini adalah terus menyebarkan mesej yang di bawa oleh himpunan Bersih iaitu 5 tuntutan terhadap kerajaan zalim kita. Sebarkan mesej ini kepada semua rakan-rakan kita yang belum sedar. Sebarkan mesej ini kepada mereka yang tidak ambil peduli mengenai perkembangan isu-isu pemimpinan di negara kita agar mereka tahu bagaimana untuk membuat pilihan mereka pada PRU akan datang.
Apa yang penting sekali, pastikan semua orang yang berumur 21 tahun ke atas di sekeliling kita mendaftarkan diri sebagai seorang pemilih agar mereka boleh mengundi pada PRU akan datang. Walaupun kerajaan BN menggunakan taktik-taktik kotor untuk mengekalkan kuasa mereka termasuk persempadanan semula kawasan mengundi yang tidak adil, saya yakin, taktik-taktik kotor BN tidak mampu menentang kebangkitan rakyat.
Justeru itu, jangan berhenti di sini. Teruskan perjuangan dan semangat Bersih 5 agar kita dapat membawa perubahan kepada negara kita demi masa hadapan dan anak cucu kita.