Skip to content

Menyeru supaya kerajaan memberikan layanan yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik

Saya menyeru supaya kerajaan memberikan layanan yang sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik bagi mempromosikan perlancongan dalam negeri dan menggerakkan pembangunan setempat.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Parlimen Seremban YB Loke Siew Fook kerana beliau telah memberikan pujian kepada program Pesta Kluang yang kami anjurkan dalam bulan September yang lalu. Yang Berhormat Seremban juga telah menggunakan penganjuran Pesta Kluang sebagai suatu contoh dalam ucapan perbahasan Bajet 2015 pada 13 Oktober yang lalu. Beliau telah menyebut “Rakan saya YB Kluang telah menganjurkan Festival Kluang baru-baru ini dengan mempromosikan keindahan semula jadi di Gunung Lambak dan menghidupkan semula warisan-warisan lama di Bandar Kluang dengan melibatkan penyertaan komuniti setempat.”.

Saya amat bersetuju dengan seruan YB Seremban dalam ucapan beliau “sukacita saya mencadangkan kepada YB Menteri supaya memperuntukkan RM22 juta daripada RM316 juta tersebut untuk mengadakan festival di setiap daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia. Saya mencadangkan setiap kawasan Parlimen diperuntukkan RM100 ribu dan Ahli Parlimen masing-masing dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan Festival bersama masyarakat tempatan pada tahun 2015 untuk merakyatkan “Year of Festival””

Dalam ucapan beliau, YB Loke juga berkata “Setiap kawasan Parlimen ada keunikannya dari segi budaya dan warisan sejarahnya. Saya yakin keunikan dan penyertaan masyarakat di peringkat akar umbi dalam penganjuran sesuatu festival ini akan memberikan pengalaman yang berbeza dan menjadi tarikan kepada pelancong. Ia juga dapat menghidupkan semula pekan-pekan kecil di seluruh negara dan memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat. Jangan kita mewujudkan persepsi kepada pelancong asing bahawa Malaysia hanyalah berkenaan dengan Kuala Lumpur. Kita perlu menunjukkan kekayaan dalam kepelbagaian kita seiring dengan tagline “Malaysia truly Asia”.”

Cadangan Yang Berhormat Seremban supaya peruntukan 22 juta ringgit diperuntukkan secara sama rata kepada kesemua 222 ahli parlimen tanpa mengira daripada pembangkang atau pemerintah adalah baik dan dapat membantu ahli-ahli yang berhormat yang tersebut dalam menggerakkan pembangunan komuniti di kawasan masing-masing.

Hujah-hujah Ahli Parlimen Seremban yang tersebut adalah sejajar dengan objektif kami (saya dan Ahli Parlimen Kluang YB Liew Chin Tong) menganjurkan Pesta Kluang di kawasan dengan bantuan dan kerjasama masyarakat setempat walaupun kami masih pembangkang.

Bagaimana pun, kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah dalam proses penganjuran Pesta Kluang. Selain menghadapi masalah kekurangan sumber terutama dari segi kewangan kami juga mengalami kesulitan untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan.

Kami berharap pihak kerajaan dapat mengetepikan perbezaan fahaman politik dan mengarahkan seluruh peringkat kerajaan khasnya kerajaan tempatan untuk memberikan kerjasama kepada wakil rakyat setempat dalam mempromosikan perlancongan setempat dan menggerakkan pembangunan komuniti setempat.