Semalam, saya telah dijemput sebagai panelis ke forum yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia bertajuk “Bagaimana menjaga kebajikan rakyat dengan bajet defisit dan hutang 1 trillion?”.
Salah satu hujahan saya adalah mengenai keperluan mengurangkan ketirisan, pembaziran dan pertindihan skop kerja yang melibatkan pelbagai Kementerian dan agensi kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Sistem perlindungan sosial di Malaysia ‘fragmented’ kerana terdapat sekurang-kurangnya 110 Program Perlindungan Sosial di Malaysia yang dilaksanakan oleh 20 Kementerian dan agensi. Daripada 110 Program Perlindungan Sosial ini, hanya 11 bantuan kebajikan berada di bawah tanggungjawab JKM. JKM pula tidak mempunyai kakitangan pekerja sosial yang mencukupi. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh MAMPU pada tahun 2018 dan 2019, nisbah pekerja sosial di JKM berbanding populasi penduduk Malaysia adalah 1:8,576 penduduk Malaysia. Nisbah ini memang besar jika kita bandingkan dengan negara-negara lain seperti satu pekerja sosial kepada 490 rakyat di Amerika Syarikat (1:490); satu kepada 1040 di Australia (1:1,040); 1:3025 di United Kingdom, dan jiran kita Singapura 1:3448 orang. (Sila rujuk Hansard Parlimen bertarikh 9 Oktober 2019).
Dengan bebanan tugas JKM yang besar dan kepelbagaian program kebajikan pelbagai pihak yang tidak diselaraskan, terdapat satu keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang menyeluruh bagi pihak yang menguruskan pelbagai program kebajikan dan ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan MyKad sedia ada. Tanpa pangkalan data yang senang diakses, penerima bantuan ada yang sampai menerima 5 beg sekolah dalam program Back-To-School atau 5 guni beras untuk bantuan makanan. Ini sememangnya satu pembaziran dan menyebabkan ramai lagi tercicir daripada menerima bantuan kebajikan.
Dalam suasana bajet defisit dan hutang negara yang semakin meningkat, saya menyeru supaya Kerajaan segera memberi tumpuan dan keutamaan kepada cadangan untuk mewujudkan sistem pangkalan data nasional perlindungan sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia atau Malaysia Social Protection Council (My SPC) yang dipengerusikan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu iaitu Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (sila rujuk Hansard Parlimen bertarikh 9 Oktober 2019). Ini mesti disegerakan bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, badan korporat dan badan NGO mengoptimumkan pengurusan sumber masing-masing untuk memaksimumkan jumlah penerima bantuan kebajikan di Malaysia.