Jawatan Timbalan Tuan Yang Dipertua (TTYDP) telah dikosongkan dengan peletakkan jawatan Dato Seri Azalina Othman Said pada 23.08.2021 yang lepas. Kemungkinan besar Dewan Rakyat akan memilih TTYDP yang baharu pada 14.09.2021 dengan undian oleh Ahli-Ahli Parlimen.
Ia telah menjadi suatu perbincangan ramai yang mana dikatakan pihak Kerajaan telah mencadangkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai TTYDP yang baharu.
Ini adalah mengejutkan dan membimbangkan memandangkan Datuk Seri Ahmad Maslan sedang menghadapi perbicaraan di Mahkamah untuk dua pertuduhan iaitu tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN dan memberikan penytataan palsu kepada SPRM.
Apabila Tan Sri Mahiaddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16.08.2021, beliau telah menyatakan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dan menyokong mana-mana mereka dari kalangan “Kluster Mahkamah” dalam UMNO.
Tan Sri Mahiaddin Yassin telah menyatakan pendirian beliau yang nampaknya begitu jelas dan tegas, dan sudah sampai masa beliau untuk mengotai janji atau walk the talk dengan memastikan beliau sendiri dan Ahli-Ahli Parlimen Parti beliau tidak akan menyokong mana-mana calon dari Kluster Mahkamah apabila pengundian pemilihan TTYDP dibuat pada 14.09.2021.
Pada masa yang sama, demi melindungi integriti dan keutuhan institusi Parlimen negara kita, saya juga menyeru supaya kesemua 220 Ahli-Ahli Parlimen membuat undian pemilihan TTYDP dengan undian mengikut hati Nurani (vote by conscience).
Ahli-Ahli Parlimen harus menolak sebarang calon yang mempunyai rekod yang tercemar atau dari kalangan Kluster Mahkamah daripada memegang suatu jawatan yang begitu penting dalam Parlimen, supaya ia tidak mendatangkan penghinaan (disrepute) dan menyebabkan institusi Parlimen menjadi suatu bahan ejekan.