Skip to content

Menyeru supaya rakyat Pulau Pinang terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan

Pelaksanaan ‘total lockdown’ Fasa Pertama selama 14 hari akan bermula pada 12:01 tengah malam ini. Justeru, saya terus menyeru supaya rakyat Pulau Pinang terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Pulau Pinang berkongsi data bahawa sebanyak 43 sekatan jalan raya (SJR) akan beroperasi sepanjang tempoh berkaitan dengan membabitkan 665 keanggotaan. Sebagai tambahan, terdapat juga 105 pasukan dengan 710 petugas yang terlibat dalam pemeriksaan pematuhan SOP. Penguatkuasaan akan tertumpu terutamanya di sempadan-sempadan negeri serta daerah bagi mematahkan rantaian perebakan wabak dari luar.

Berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyatakan bahawa bermula minggu kedua bulan Jun 2021, sebanyak enam (6) hospital swasta akan terlibat sama dalam proses vaksinasi membabitkan masyarakat umum. Ini juga akan disusuli dengan penambahan klinik-klinik swasta dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu juga, adalah diharapkan kadar vaksinasi di negeri ini dapat ditingkatkan dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega dan menerusi usahasama bersama-sama pihak swasta dengan sasaran untuk menyempurnakannya pada penghujung tahun ini iaitu kepada sasaran populasi 1.3 juta rakyat Pulau Pinang demi mencapai imuniti kelompok di negeri ini.

Patuhi kawalan kendiri dan segera jalani ujian saringan di klinik-klinik berdekatan sekiranya merasakan diri bergejala serta menjadi kontak kepada kes-kes positif yang dikesan.